Polis rakam keterangan anak Pamela Ling di Singapura, dedah masih berhubung pada hari kejadian


  • 112
  • Ahad, 18 Mei 2025

Pamela Ling dilaporkan diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM pada 9 April lepas.

POLIS memaklumkan sudah merekodkan keterangan anak-anak Datin Seri Pamela Ling Yueh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya merakam keterangan tiga anak Pamela dan seorang rakannya di Balai Polis Woodlands, Singapura pada Sabtu malam.

"Saya sudah melihat kenyataan itu dan ada perkara yang boleh membantu siasatan, termasuk lokasi terakhirnya pada hari kejadian.

"Dia juga masih berhubung dengan ahli keluarga pada hari itu," katanya pada Ahad.

BACA LAGI: Permohonan reman ditolak, suami Pamela Ling ditahan bantu siasatan

BACA LAGI: Lapan suspek, 5 kenderaan terbabit dalam penculikan Pamela Ling — Polis KL

Beliau berkata, seramai 42 individu sudah direkodkan kenyataan mereka dan rekod menunjukkan Pamela berkemungkinan besar masih berada di Malaysia tetapi tidak menolak kemungkinan keluar melalui laluan haram.

Beliau menambah, polis bagaimanapun boleh memanggil semula suami Pamela untuk keterangan jika perlu.

Sebelum ini, suami Pamela ditahan pada 15 Mei lalu tetapi dibebaskan selepas polis gagal mendapatkan perintah reman.

Pada 9 April, Pamela dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Namun, Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan peguamnya membuat laporan polis berhubung kehilangannya pada hari yang sama.

Setakat ini, tiada tuntutan wang tebusan dibuat berhubung kehilangannya. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram