Punca kematian pelajar SMS Johor akibat pendarahan dalaman otot pinggul — Polis Ipoh


  • Podium
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Polis sahkan punca kematian pelajar akibat pendarahan dalaman otot pinggul. — Facebook

PUNCA kematian pelajar sekolah yang meninggal dunia secara mengejut ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh, Perak pada Jumaat dikenal pasti melalui bedah siasat sebagai akibat pendarahan dalaman pada otot pinggul.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, bedah siasat ke atas mayat Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, murid dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor itu dijalankan pada Jumaat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Beliau berkata, maklumat awal yang diperoleh mendapati mangsa rebah di hadapan khemah sekitar pukul 10.30 pagi ketika ingin masuk ke padang bagi sesi separuh masa kedua perlawanan ragbi yang berlangsung antara pasukan dari SMS Johor dengan SMS Rembau.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Patut tegur cara elok', warga asing tak sedar pakai baju penguat kuasa diminta tanggal depan orang awam

BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Liga A1 letakkan diri dalam senarai eksklusif, gegar JDT lepas hampir digugur

Bedah siasat ke atas mayat Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman dikenal pasti sebagai akibat pendarahan dalaman pada otot pinggul. Facebook

Tambahnya lagi, pemeriksaan yang dibuat Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas ketika kejadian mengesyaki mangsa terkena sawan berikutan keadaan badan mangsa menggigil dan keras.

Katanya, bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan berikutan denyut nadi mangsa lemah sehingga mangsa dibawa ke HRPB namun mangsa disahkan meninggal dunia pukul 11.18 pagi.

“Satu kertas siasatan laporan mati mengejut dibuka. Hasil dari bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan ‘Exsanguination from PSOAS muscle tear’ (pendarahan dalaman otot pinggul kanan).

“Temu bual awal dengan pengadu mendapati si mati tidak menunjukkan apa-apa tanda sakit sebelum bermain ragbi di separuh masa pertama,” katanya.

Menurutnya lagi, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Susulan kematian pelajar itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengambil keputusan untuk membatalkan kejohanan yang sepatutnya dijadualkan berlangsung sehingga esok dan akan menjadualkannya semula pada tarikh baharu, sebagai menghormati pemergian Allahyarham.

Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 berlangsung di Padang Ragbi, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram