
AKTIVIS alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, antara lebih 70 individu pelbagai warganegara yang akan meninggalkan Israel pada Isnin selepas ditahan ketika menaiki kapal konvoi bantuan ke Gaza yang dipintas tentera laut Israel minggu lalu.
Menurut kenyataan beberapa kementerian luar negara Eropah, kebanyakan tahanan terbabit akan diterbangkan ke Athens, Greece sebelum menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing.
Mereka yang dijadual berlepas dari Israel termasuk 28 warga Perancis, 27 warga Greece, 15 warga Itali dan sembilan warga Sweden.
BACA LAGI: Aktivis Malaysia dibawa keluar menuju Istanbul dalam masa terdekat — PM Anwar
BACA LAGI: Pernah berdepan situasi sama, wartawan sudah 'predict' nasib rakyat Malaysia ditahan tentera rejim
Sementara itu, 21 warga Sepanyol telah pulang ke Madrid pada Ahad.
Bagaimanapun, 28 warga Sepanyol lain masih ditahan di Israel bersama beberapa aktivis asing yang lain.
Kesemua mereka menaiki 42 kapal dalam misi Global Sumud Flotilla yang membawa aktivis dan ahli politik antarabangsa dengan tujuan menembusi sekatan laut Israel bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini berdepan krisis kebuluran.
Namun, dakwaan itu dinafikan Israel.
“My name is Greta Thunberg. I'm a citizen of Sweden. If you are watching this video, I have been abducted and taken against my will by Israeli forces.. Please tell my government to demand my and the others' immediate release.”
JUSTICE FOR GRETA pic.twitter.com/sg5p8Dq4LI
— ADAM (@AdameMedia) October 2, 2025
Israel mula memintas kapal berkenaan di perairan antarabangsa pada Rabu, sebelum menahan lebih 470 individu yang menaiki konvoi tersebut.
Menurut Kementerian Luar Itali dan Greece, rakyat mereka yang dibebaskan akan diterbangkan ke Athens dari Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel, manakala Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, berkata mereka akan dibantu untuk transit ke Rome selepas itu.
Kementerian Luar Perancis turut memaklumkan 28 rakyatnya akan diterbangkan ke Greece, sementara media Sweden melaporkan aktivis negara itu, termasuk Thunberg, dijangka menaiki penerbangan yang sama.
Sehingga kini, 170 aktivis flotila diusir keluar dari Israel, manakala selebihnya masih ditahan di Penjara Ketziot, yang menurut peguam mereka berada dalam keadaan tidak memuaskan.
Dalam insiden berasingan pada Ahad malam, seorang aktivis wanita dari Sepanyol menggigit kakitangan perubatan penjara ketika menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum proses deportasi.
Insiden itu menyebabkan penghantaran pulang aktivis tersebut ditangguhkan dan dia dijangka dihadapkan ke mahkamah Isnin ini.
Greta ketika berada dalam tahanan rejim Israel. — Agensi
Pertubuhan bantuan guaman Arab-Israel, Adalah, mendakwa tahanan aktivis itu dilayan dengan kasar, kekurangan makanan dan air, serta ada yang diperlakukan secara ganas oleh pihak berkuasa penjara.
Greta dalam mesej kepada Kedutaan Sweden pada Sabtu berkata beliau mengalami dehidrasi dan ruam kulit dipercayai akibat serangan pepijat katil, selain mendakwa terpaksa duduk di permukaan keras untuk tempoh lama.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Israel menolak tuduhan itu sebagai satu pembohongan, manakala Menteri Keselamatan Nasional, Itamar Ben Gvir, menyatakan dia 'bangga' kerana aktivis berkenaan dilayan seperti 'penyokong pengganas'.
“Semua hak perundangan tahanan dipatuhi sepenuhnya,” kata Kementerian Luar Israel dalam kenyataan di platform X.
Flotila Sumud yang berlepas pada Ogos lalu merupakan cubaan terbaharu aktivis antarabangsa untuk mencabar sekatan laut Israel ke atas Gaza.
Percubaan serupa pada Jun dan Julai lalu turut dipintas tentera Israel di tengah kemarahan dunia terhadap krisis kemanusiaan di wilayah itu.
Dalam laporan PBB pada Ogos yang dinafikan Israel, badan dunia itu mendakwa berlaku kebuluran di utara Gaza, susulan sekatan bantuan yang dikenakan hampir tiga bulan sebelum Mei lalu.
Sementara itu, Flotila baharu melibatkan sembilan kapal di bawah Freedom Flotilla Coalition dilaporkan sedang menghampiri perairan Mesir berhampiran Alexandria dan dijangka berdepan tindakan sama oleh tentera laut Israel dalam masa terdekat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram