
EMPAT individu dilaporkan maut selepas pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas sebuah bot berhampiran perairan Venezuela yang didakwa terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah.
Perkara itu disahkan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth yang menyatakan serangan tersebut dilakukan di perairan antarabangsa ketika bot berkenaan dipercayai membawa sejumlah besar dadah menuju ke AS.
“Serangan ini dilakukan bagi menghalang cubaan menyeludup dadah yang bertujuan meracuni rakyat kami,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Jumaat.
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki OKU kena pukul di Kajang didakwa ganggu wanita di surau, kedai makan
Difahamkan, serangan pada Jumaat itu merupakan yang terbaharu daripada beberapa siri serangan maut dilancarkan AS ke atas bot di perairan antarabangsa yang dikaitkan dengan aktiviti ‘narco-trafficking’.
Bagaimanapun, tindakan itu mendapat kecaman daripada beberapa negara termasuk Venezuela dan Colombia selain turut disifatkan sesetengah pakar kanun sebagai melanggar undang-undang antarabangsa selepas video berkenaan tular di laman media sosial.
Menurut Hegseth, maklumat risikan pihaknya mengesahkan tanpa keraguan bahawa bot berkenaan digunakan untuk mengangkut dadah, manakala mereka yang berada di atasnya adalah kumpulan “narco-terrorist”.
“Serangan seperti ini akan diteruskan sehingga ancaman terhadap rakyat Amerika berakhir,” katanya.
BREAKING: Drug boat heading to the US from Venezuela just blown up by the US military. 4 smugglers kiIIed. pic.twitter.com/BpiVuszYB8
— End Wokeness (@EndWokeness) October 3, 2025
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump turut mengesahkan perkara itu di platform Truth Social dengan mendakwa bot berkenaan membawa dadah yang cukup untuk membunuh antara 25,000 hingga 50,000 orang.
Bagaimanapun, setakat ini pihak AS belum mengemukakan sebarang bukti mahupun mendedahkan identiti mangsa yang terlibat.
Tiada maklum balas segera daripada Venezuela berhubung insiden terbaharu ini, namun presidennya Nicolás Maduro sebelum ini pernah mengecam serangan sama dan menyifatkannya sebagai tindakan agresif AS.
Serangan pada Jumaat itu merupakan yang keempat dilaksanakan AS dalam tempoh sebulan.
Pada awal September, serangan ke atas sebuah bot di selatan Caribbean mengorbankan 11 orang, diikuti dua lagi serangan berasingan dalam bulan sama yang mengakibatkan enam lagi maut.
Dalam perkembangan lain, memo yang bocor kepada Kongres AS pada Khamis lalu mendedahkan kerajaan kini menganggap operasi menentang kartel dadah sebagai 'konflik bersenjata bukan antarabangsa', sekali gus memberi ruang kepada Washington untuk menggunakan kuasa ketenteraan lebih meluas.
Tindakan itu dilihat sebagai usaha pentadbiran Trump untuk mengklasifikasikan jenayah dadah sebagai serangan bersenjata, membolehkan pihak tentera menggunakan kuasa luar biasa seperti menahan individu tanpa tempoh tertentu atau menghapuskan pihak yang dilabel sebagai musuh walaupun tidak menimbulkan ancaman langsung.
Trump sebelum ini juga telah mengklasifikasikan beberapa kartel termasuk di Mexico, Ecuador dan Venezuela sebagai organisasi pengganas, sekali gus memberi autoriti lebih luas kepada pihak berkuasa AS dalam operasi mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram