[VIDEO] Bagaikan ‘hujan meteor’, pertunjukan bunga api dron bertukar cemas di China


  • Benua
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Pertunjukkan bunga api menggunakan dron di bandar Liuyang dekat Hunan, China pada Jumaat bertukar cemas apabila percikan api daripada dron berkenaan mencetuskan hujan bebola api di kawasan awam.

PERTUNJUKAN bunga api menggunakan dron di bandar Liuyang dekat Hunan, China pada Jumaat bertukar cemas apabila percikan api daripada dron berkenaan mencetuskan hujan bebola api di kawasan awam.

Kejadian berlaku semasa persembahan diadakan di Sky Theater yang terletak di kawasan Sungai Liuyang, di mana ratusan dron dilengkapi bunga api terkawal diterbangkan ke udara bagi membentuk pelbagai corak.

Pertunjukan yang turut disertai bunga api di permukaan air itu menarik ribuan pelancong yang hadir untuk menyaksikan keindahan cahaya di langit malam.

BACA LAGI: Teknologi jadi perisai, KPM boleh cuba 3 peranti moden bantu cegah pelajar dibuli

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki OKU kena pukul di Kajang didakwa ganggu wanita di surau, kedai makan

 

 

 

 

Bagaimanapun, ketika pertunjukan mencapai kemuncak, percikan api yang terhasil daripada bunga api dron tersebut dipercayai diterbangkan angin ke kawasan bukit yang dipenuhi rumput kering, sekali gus menyebabkan kebakaran kecil berlaku.

Rakaman video di lokasi menunjukkan percikan api jatuh ke bawah ibarat hujan meteor dan nyalaan api turut kelihatan merebak di lereng bukit.

Situasi itu jga menimbulkan panik dalam kalangan penonton yang menjerit dan berlari mencari perlindungan.

Menurut laporan media tempatan, persembahan bunga api menggunakan dron tersebut merupakan gabungan teknologi penerbangan tanpa pemandu dengan sistem pencucuhan bunga api terkawal bagi menghasilkan corak dan visual menarik di udara.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan diterima dan pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Terdahulu, tular beberapa video sejak Jumaat memaparkan orang awam bertempiaran menyelamatkan diri selepas kawasan tersebut dihujani hujan percikan api. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram