'Jiwanya masih di Sabah', Tae-su hadir sokong 'Sumandak', cetus nostalgia fans The Rhinos


  • Podium
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Farish Aziz (Kiri) dan Tae-su hadir memberi sokongan pada perlawanan Sabah FA menentang Young Tigress di Stadium MBSJ dekat Subang Jaya, Selangor pada Khamis.

KEHADIRAN bekas pertahanan import Sabah FC, Park Tae-su, pada perlawanan Sabah FA menentang Young Tigress di Stadium MBSJ dekat Subang Jaya, Selangor pada Rabu nyata mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air.

Pemain kelahiran Korea Selatan itu yang kini menyarung jersi PDRM FC tetap mendapat sambutan hangat daripada penyokong Sang Badak yang masih menganggap khidmatnya sukar dicari ganti.

Walaupun sekadar hadir sebagai penonton skuad 'Sumandak', aura dan karisma Tae-su jelas tidak pernah pudar. 

BACA LAGI : Mendengar sendiri visi jelas TMJ, Indra Putra percaya urus krisis FIFA dapat diselesaikan

BACA LAGI : ‘Malapetaka menanti Sabah FC jika masih kekal dengan strategi lapuk berdepan Kuching City’

Beberapa gambar tular di media sosial pada Khamis menunjukkan dia beramah mesra dengan bekas Pengurus Pemasaran Sabah FC, Farish Aziz selain meluangkan masa berbual dan bergambar bersama peminat.

Bagi penyokong setia Sabah, kehadiran Tae-su bukan sekadar mengimbau memori zaman kegemilangannya di Likas, malah membangkitkan perasaan kecewa terhadap pengurusan pasukan kerana melepaskan pemain yang dianggap ‘ikon’ skuad Sang Badak itu.

“Jiwanya masih di Sabah, tapi pengurusan tidak menghargai. Lihatlah kedudukan Sabah musim ini,” tulis Kinawa Osuka.

Seorang lagi penyokong, Jaklin Manir, menyifatkan Sabah kini hilang taring selepas kehilangannya Tae-su.

"Hatinya masih bersama Sabah, sayangnya pengurusan Sabah lepaskan dia begitu saja. 

"Tengok apa terjadi pada ketika ini. Sayangnya usaha Datuk Ong Kim Swee (OKS) membina Sabah FC dahulu menjadi pasukan elit Asia, namun kini jadi belasahan JDT 8-0. 

"Terbaru kalah lagi, rombakan segera perlu dilakukan untuk lihat Sabah kembali di landasan,” tulisnya. 

Biarpun berdepan pelbagai komen negatif terhadap prestasi semasa Sabah FC, kelibat Tae-su sedikit sebanyak menjadi pengubat rindu penyokong yang masih menginginkan sentuhan magisnya dalam pasukan.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram