
SERAMAI tiga mangsa sudah disahkan meninggal dunia selepas sebuah masjid runtuh dalam kejadian di Sekolah Pondok Al Khoziny sekitar Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.
Kejadian yang berlaku pada Isnin itu menyaksikan seramai 102 penuntut serta guru berada dalam bangunan itu ketika masing-masing sedang menunaikan solat Asar.
Bagaimanapun, ketika ibadah tersebut sedang berlangsung, masjid berkenaan secara tiba-tiba runtuh sehingga menyebabkan puluhan mangsa terperangkap.
BACA LAGI: [VIDEO] Siling masjid di Terengganu runtuh akibat panahan petir, gemparkan jemaah sebelum solat Asar
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Kau rajin iktikaf’, sahabat doakan staf SESB hanyut ketika bertugas di Keningau selamat
Berdasarkan laporan, 91 orang menyelamatkan diri sendiri sementara 11 yang lain hanya dapat dikeluarkan selepas operasi membantu dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Setakat ini, tiga mangsa sudah disahkan meninggal dunia dengan dua daripadanya menghembuskan nafas akhir ketika menerima rawatan di hospital sementara seorang lagi maut di tempat kejadian.
Ini merupakan satu tragedi yang sungguh meruntun jiwa dengan salah seorang penjaga, Abdus Salam Mujib memohon maaf atas insiden berkenaan sambil menyatakan struktur bangunan lemah menyebabkan masjid terbabit runtuh.
“Bangunan ini hanya mempunyai tiga tingkat. Rancangannya ialah untuk membina empat tingkat dengan bumbung rata. Tingkat atas dirancang sebagai bilik darjah dan aktiviti pelajar, manakala tingkat bawah sudah digunakan sebagai ruang solat.
Mujib menceritakan punca masjid tersebut runtuh ketika penuntut sedang menunaikan solat Asar.
"Saya boleh katakan struktur sokongan konkrit tidak cukup kuat dan ia kemudian jatuh ke bawah. Sepatutnya kerja-kerja membangunkan struktur itu sudah berada dalam fasa akhir," katanya.
Mujib turut memberitahu bahawa proses pembinaan rumah ibadah itu memakan masa kira-kira sembilan ke 10 bulan, namun sudah digunakan bagi pelbagai tujuan.
Siasatan awal turut mendapati terdapat kemungkinan projek pembangunan masjid terbabit tidak diluluskan kerana gagal memperoleh sebarang lesen mahupun permit.
"Saya bertanya mengenai kelulusan pembangunan, tetapi baru saya tahu mereka tidak ada sebarang dokumen. Masjid itu runtuh selepas semen dituang di tingkat tiga bangunan, namun kerana tidak mengikuti standard, akhirnya ia roboh," kata ketua kampung.
Ini bukanlah kali pertama insiden bangunan di pusat pengajian roboh sekitar Indonesia kerana keengganan pihak pengurusan sekolah pondok kerap bersikap culas dalam mengelak tragedi sedemikian berulang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram