[VIDEO] ‘Kau rajin iktikaf’, sahabat doakan staf SESB hanyut ketika bertugas di Keningau selamat


  • Massa
  • Khamis, 18 Sep 2025

Masdeh (gambar kecil) belum ditemukan memasuki hari ketiga operasi SAR dilancarkan.

TRAGEDI menimpa tiga anggota Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) apabila kenderaan dinaiki dihanyutkan arus deras di Sungai Nuntunan, Apin-Apin, Keningau pada Selasa amat menyayat hati.

Ini selepas salah seorang mangsa, Masdeh Rosmin masih belum ditemukan memasuki hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

Difahamkan, dia adalah satu-satunya anggota yang gagal dikesan selepas dua rakannya sempat menyelamatkan diri dari kenderaan pacuan empat roda dinaiki.

BACA LAGI: Dua menara elektrik utama Ranau hampir runtuh akibat pergerakan tanah — SESB

BACA LAGI: [VIDEO] 13 jam 'blackout', bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah pulih berperingkat

Bagaimanapun, memasuki hari ketiga operasi SAR dilancarkan sekitar lokasi insiden, masih tiada sebarang petunjuk dengan arus deras mengganggu proses pencarian.

Orang ramai sudah tentu mengharapkan mangsa berusia 35 tahun itu dapat ditemukan segera dalam keadaan selamat kerana keluarga pasti bimbang memikirkan nasib yang menimpanya.

Malah, kenalan Masdeh turut sempat menitipkan doa dan harapan, termasuk Salleh Jatil yang mengenali petugas SESB itu sejak di zaman universiti.

"Ya ALLAH, selamatkanlah sahabat kami ini yang dihanyutkan arus deras ketika bertugas. Semoga segera dijumpai sahabatku ini.

"Tiga tahun kita bersama di Paitan (Beluran), kau iktikaf sentiasa di masjid dan banyak kenangan kita bersama sejak zaman mahasiswa. Kita bertugas di daerah sama di Paitan sampailah sama-sama dalam Pemuda AMANAH Sabah," tulisnya.

Hantaran dibuat pada Rabu itu disertakan sekeping swafoto antara pemilik akaun Facebook itu bersama Masdeh beserta kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa.

Ruangan komen turut dibanjiri doa pengguna media sosial lain yang masing-masing amat merisaukan keadaan mangsa yang masih belum ditemukan hingga ke hari ini.

Masdeh sebelum ini bersama-sama rakannya dalam perjalanan ke salah sebuah kampung di Keningau yang mengalami gangguan bekalan elektrik.

Kejadian itu selepas hujan lebat berterusan di Sabah mengakibatkan tanah runtuh di beberapa daerah dengan 12 nyawa sudah terkorban setakat Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram