[VIDEO] Pemilik kedai berhati mulia, sanggup belanja pasangan asal pedalaman jadi mangsa 'scammer'


  • Benua
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Tangkap layar dari rakaman CCTV memaparkan pemilik restoran itu memberi makanan tanpa meminta sebarang bayaran.

SEBUAH insiden menyentuh hati tular di media sosial sejak Rabu selepas pemilik kedai makanan di Bangkok, Thailand memberikan pasangan kekasih makanan tanpa meminta sebarang bayaran.

Kisah tersebut berlaku apabila pasangan tersebut berdiri sambil menatap restoran berkenaan yang ketika itu tidak dipenuhi ramai pengunjung.

Menyedari kehadiran dua individu tidak dikenali berkenaan, pemilik kedai makan, En Nook mendekati mereka sebelum bertanya apakah yang dimahukan.

BACA LAGI: Pamer nilai murni, perkenal identiti negara di media sosial cara Gen Z semai semangat patriotik

BACA LAGI: 'Siap masak, bayarkan bil rawatan', wanita tumpah air mata dibantu jiran India lepas tangan melecur

Wanita yang berada di hadapan restoran itu kemudian bertanya sama ada dia boleh memberikan mereka makanan dengan pertanyaan tersebut dibuat dalam keadaan berbisik.

Nook kemudiannya meminta kedua-dua pelanggan tersebut untuk duduk sambil dia menyediakan juadah dengan wajah pasangan itu kelihatan sugul.

Pemilik kedai tersebut kemudian bertanya latar belakang kedua-dua individu berkenaan yang menjawab mereka berasal dari daerah Ratchaburi dan baru sahaja tiba di ibu negara Thailand itu.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka selepas ditipu majikan yang enggan membayar gaji sehingga menyebabkan kedua-duanya tidak mempunyai wang mencukupi.

Situasi mendesak itu kemudian memaksa dua individu itu meminta makanan dengan kisah terbabit jelas menyentuh hati Nook yang turut menghulurkan dua botol air minuman.

Pasangan tersebut pada awalnya menunggu di hadapan kedai.

Pasangan kekasih tersebut jelas menghargai pemberian terbabit sebelum meminta izin untuk beredar kerana sedang dalam usaha mencari kerja.

Kisah menyentuh hati itu sempat dirakam kamera litar tertutup di kedai makan berkenaan sebelum dimuat naik di laman TikTok Kuanainuad.

Video berdurasi lebih dari seminit tersebut sudah menerima jutaan tontonan dengan orang ramai tersentuh akan tindakan Nook sementara ada yang turut menawarkan pekerjaan buat dua individu malang terbabit.

Pemilik restoran terbabit turut menyatakan bahawa situasi sedemikian kerap berlaku di kawasan berkenaan apabila orang kurang bernasib baik meminta makanan akibat kelaparan.

Meskipun tidak dapat mengaut keuntungan, keikhlasan diberikan dalam membantu golongan yang ditimpa kesusahan menceritakan nilai murni peniaga dan penduduk setempat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram