
PUTERI Raja Thailand, Bajrakitiyabha Narendira Debyavati kini dirawat secara intensif di Hospital Memorial Raja Chulalongkorn, Bangkok selepas disahkan menghidap jangkitan darah serius.
Menurut kenyataan Biro Rumah Tangga Diraja Thailand bertarikh 15 Ogos, keadaan kesihatan beliau memerlukan rawatan rapi, termasuk penggunaan antibiotik, ubat tekanan darah, dan alat sokongan bagi membantu fungsi paru-paru serta buah pinggang.
Biro tersebut memaklumkan bahawa pada 9 Ogos lalu, pasukan perubatan mengesan jangkitan teruk dalam aliran darah puteri berusia 46 tahun itu.
BACA LAGI: VIDEO] Lelaki panik diekori polis, bawa mayat isteri digilis lori guna motosikal sejauh 80km
BACA LAGI: Dua rakyat Malaysia jadi dalang sindiket pekerja asing ditahan di Kalimantan
"Pasukan doktor telah memberikan pelbagai jenis antibiotik serta ubat untuk menstabilkan tekanan darah baginda,” menurut kenyataan itu.
Puteri Bajrakitiyabha tidak sedarkan diri sejak Disember 2022 selepas mengalami masalah jantung ketika melatih anjing peliharaannya di Pak Chong, wilayah Nakhon Ratchasima.
Sejak mula dirawat, doktor pernah beberapa kali mengesan jangkitan yang dirawat dengan antibiotik, tetapi kali ini jangkitan yang merebak ke dalam aliran darah disifatkan sebagai lebih serius dan memerlukan rawatan intensif.
Menurut sesetengah penganalisis, Puteri Bajrakitiyabha dilihat sebagai antara calon pewaris takhta dan berpotensi menjadi ratu pertama dalam sejarah Thailand.
Sehingga kini, Raja Vajiralongkorn yang berusia 73 tahun masih belum menamakan sebarang pewaris rasmi sejak menaiki takhta pada 2016.
Setakat ini, Biro Diraja telah mengeluarkan empat kenyataan rasmi berkaitan kesihatan puteri berkenaan sejak Januari 2023, dengan rawatan lanjut dan pemantauan rapi masih diteruskan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram