
DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, dunia menyaksikan rekod bahang luar biasa di kawasan yang dahulunya beriklim sederhana.
Rekod bahang ini termasuklah di Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Utara.
Fenomena gelombang haba semakin kerap berlaku dan kini dianggap sebagai ancaman kesihatan awam utama, walaupun tidak memberi kesan buruk seperti banjir atau ribut.
BACA LAGI: 'Berhati-hati bila menghias rumah', 7 trend dekorasi membazir menurut pakar hiasan dalaman
Suhu tinggi di Malaysia
Di Malaysia, peningkatan suhu dan kelembapan akibat perubahan iklim meningkatkan risiko penyakit berkaitan haba, khususnya keletihan haba (heat exhaustion) dan strok haba (heatstroke).
Pada 2023 dan 2024, suhu mencecah lebih 37°C di beberapa negeri, malah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan kes strok haba yang signifikan semasa gelombang haba Mac hingga Mei 2023.
Gelombang haba April 2023 amat teruk di Asia Tenggara dengan Vietnam merekodkan 44.2°C manakala Bangkok melebihi 40°C selama beberapa hari berturut-turut.
Di Malaysia pula, catatan tertinggi ialah 39.5°C di Chuping, Perlis seperti negeri-negeri utara Perlis dan Kedah lazimnya menjadi kawasan paling panas ketika fenomena ini.
Suhu mencecah hampir 40 darjah Celsius di beberapa negeri utara Malaysia.
Apa itu gelombang haba?
Gelombang haba ialah tempoh berpanjangan dengan suhu tinggi melampau, sering disertai kelembapan tinggi yang berlanjutan selama beberapa hari atau minggu.
Berbeza dengan banjir atau ribut, gelombang haba membawa kesan senyap tetapi sangat berbahaya.
Pendedahan berpanjangan boleh mengganggu kemampuan tubuh mengekalkan suhu normal, seterusnya meningkatkan risiko penyakit kronik, menekan sistem kesihatan dan boleh membawa maut.
Perubahan iklim yang didorong pelepasan gas rumah hijau jelas mempercepatkan fenomena tersebut.
Data menunjukkan suhu global kini meningkat lebih 1.1°C sejak era pra-industri, sekali gus menjadikan gelombang haba lebih kerap, panjang dan teruk berbanding dahulu.
Kawasan bandar pula lebih terdedah kerana kesan pulau haba bandar (urban heat island) kerana bangunan konkrit dan jalan tar menyerap serta memerangkap haba, manakala kawasan hijau semakin berkurangan.
Reaksi tubuh terhadap panas
Tubuh manusia biasanya mengekalkan suhu dalaman sekitar 37°C dengan berpeluh dan peredaran darah.
Namun, dalam keadaan haba melampau dan kelembapan tinggi, mekanisme ini boleh gagal.
Keadaan ini boleh membawa kepada:
Keletihan haba – gejala termasuk berpeluh banyak, lemah, pening, loya dan kekejangan otot.
Strok haba – kecemasan perubatan apabila suhu badan melebihi 40°C; pesakit boleh menjadi keliru, sawan, pengsan malah gagal organ. Tanpa rawatan segera, ia boleh membawa maut.
Golongan paling berisiko ialah warga emas, kanak-kanak kecil, mereka yang ada penyakit kronik (jantung, kencing manis, paru-paru), pekerja luar seperti pembinaan dan pertanian, serta komuniti berpendapatan rendah yang kurang akses kepada penyaman udara atau ruang teduh.
Kesan Global
Tahun 2024 direkodkan sebagai tahun paling panas dalam sejarah, sebahagiannya akibat fenomena El Niño.
Kajian menganggarkan sekitar 489,000 hingga 500,000 kematian di seluruh dunia berpunca daripada haba tahun itu.
Selain kematian langsung, gelombang haba juga meningkatkan risiko penyakit lain seperti:
- Sakit jantung – akibat tekanan tambahan pada fungsi jantung.
- Penyakit pernafasan – kerana pencemaran udara meningkat ketika cuaca panas.
- Masalah buah pinggang – berpunca daripada dehidrasi.
- Stres pekerjaan – khususnya pekerja luar di Asia Tenggara dan Timur Tengah.
- Kesihatan mental – seperti keresahan, cepat marah dan gangguan tidur.
Haba melampau juga mengganggu ekonomi – hasil tanaman rosak, produktiviti pekerja menurun, penggunaan elektrik meningkat dan kos rawatan kesihatan melonjak.
Kanak-kanak minum air kosong bagi mengelak dehidrasi ketika cuaca panas.
Strategi perlindungan
Individu:
- Minum air dengan kerap walaupun tidak haus.
- Elak terdedah kepada cahaya matahari antara 10 pagi hingga 4 petang.
- Pakai pakaian longgar dan berwarna cerah.
- Gunakan kipas atau pendingin hawa, jika tiada, pergi ke tempat awam yang ada kemudahan tersebut.
- Pantau golongan seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik.
Pertolongan cemas strok haba:
- Hubungi ambulans segera.
- Alihkan pesakit ke tempat teduh atau berhawa dingin.
- Tanggalkan pakaian berlebihan.
- Sejukkan badan dengan ais di kawasan leher, ketiak dan celah paha atau rendam dengan air sejuk.
- Jangan beri minum jika pesakit tidak sedarkan diri.
Komuniti dan negara:
- Kempen kesedaran awam mengenai keselamatan ketika panas.
- Rancangan tindakan haba (heat action plan) seperti di Ahmedabad, India yang terbukti mengurangkan kematian.
- Latihan petugas kesihatan mengenali gejala strok haba.
- Perancangan bandar yang lebih hijau dengan taman, bumbung reflektif dan ruang teduh.
- Pusat penyejukan awam (cooling centres) untuk penduduk ketika gelombang haba.
- Inisiatif global mengurangkan pelepasan karbon bagi mengekang perubahan iklim.
Pekerja pembinaan terdedah risiko strok haba akibat bekerja di bawah terik matahari.
Gelombang haba bukan lagi fenomena luar biasa, ia kini ancaman kesihatan yang boleh diramal dalam dunia semakin panas.
WHO memberi amaran menjelang 2050, kematian akibat haba boleh mencecah jutaan jika tiada langkah pencegahan diambil.
Maka, kesedaran, persediaan dan adaptasi adalah kunci. Individu, masyarakat dan negara perlu berganding bahu bukan sahaja untuk melindungi diri, tetapi juga mengatasi punca perubahan iklim.
Menurut Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar, pakar perbidanan dan sakit puan serta pengamal perubatan fungsional, isu gelombang haba harus dipandang serius kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan kesihatan awam dan kelangsungan hidup masyarakat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram