'Siap masak, bayarkan bil rawatan', wanita tumpah air mata dibantu jiran India lepas tangan melecur


  • Maya
  • Khamis, 28 Ogos 2025

Kisah menyentuh hati melibatkan seorang wanita dan jirannya berbangsa India baru-baru ini. — Gambar hiasan

SEBAGAI masyarakat majmuk di Malaysia, nilai perpaduan sering kali diketengahkan dan ditonjolkan dalam memupuk keharmonian sesama rakyat.

Ia termasuklah nilai hormat-menghormati dan saling membantu antara satu sama lain yang disemai tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

Sama seperti kisah menyentuh hati seorang wanita dan jirannya yang berbangsa India baru-baru ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Wajah ibu kekal berseri pada usia 66 tahun, ini rahsianya, tak perlu rawatan moden

BACA LAGI: Pamer nilai murni, perkenal identiti negara di media sosial cara Gen Z semai semangat patriotik

Semangat kejiranan juga menunjukkan keharmonian rakyat Malaysia. — Gambar hiasan

Berdasarkan luahannya di akaun Threads @sulaiman_waniey, ia berlaku apabila dirinya ditimpa kejadian tidak dijangka ketika menguruskan kerja rumah.

"Aku seorang suri rumah, duduk di kawasan taman. Ada bayi tiga bulan dan anak umur lima tahun.

"Dan empat anak masih bersekolah. Siang hari memang tinggal aku dengan jiran India sebelah rumah.

"Tetapi terjadi satu peristiwa yang aku tak akan lupa sampai bila-bila.

"Masa aku sibuk di dapur, air panas tertumpah kena tangan dan kaki aku, lalu terus melecur," tulisnya.

Suri rumah itu berkata, jeritannya yang terlalu kuat secara tidak langsung didengari oleh jiran wanita India yang tinggal bersama ibu bapanya.

Menyedari wanita tersebut bersendirian dengan anak-anaknya, jiran berkenaan segera berlari masuk ke rumah untuk menghulurkan bantuan.

"Selepas aku cerita apa yang terjadi, dia terus ambil bayi aku yang tiga bulan dan serahkan pada suami dia untuk jaga.

"Aku ditemankan anak aku umur lima tahun, dia pula terus bawa aku ke klinik kesihatan. 

"Yang buat aku terharu, dia siap bayarkan bil rawatan aku. Anak aku pula dia belanja minuman sebab lama tunggu aku selesai dirawat.

"Rasa macam ada keluarga sendiri yang bantu, padahal kami bukan sedarah," ceritanya.

Tidak terhenti di situ, jirannya turut membantu menyediakan makanan untuk keluarga wanita berkenaan.

Tindakan itu sekali gus membuatkannya terharu kerana dikurniakan nikmat memiliki jiran yang baik tanpa mengira bangsa dan agama.

"Jiran baik itu nikmat yang sangat besar. Mereka bukan sekadar jiran, tetapi keluarga tanpa ikatan darah.

"Syukur Ya ALLAH. Semoga kebaikan jiran aku dibalas berlipat ganda," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram