
KETIKA ramai seni bina landskap dikenali kerana reka bentuk dan estetikanya, Kotchakorn Voraakhom, seorang arkitek landskap dari Thailand, melihat kerjayanya sebagai misi menyelamatkan bandar.
Bersama studio reka bentuknya, Landprocess, serta rangkaian sosial Porous City Network, beliau bertekad menjadikan Bangkok sebagai salah satu bandar paling bertahan dengan iklim demi masa depan.
Bangkok kini berdepan cabaran besar apabila bandar itu tenggelam sekitar dua sentimeter setiap tahun, manakala paras laut terus meningkat.
BACA LAGI: Didik anak dengan nilai empati, hentikan buli dari rumah
BACA LAGI: Cintakan sejarah tiup semangat usahawan buka kedai antik, gramofon 1920-an antara khazanah berharga
Setiap kali musim hujan, ancaman banjir makin menggerunkan.
Namun bagi Kotchakorn, kejayaan sebenar bukanlah pada anugerah berprestij yang diterimanya termasuk UN Global Climate Action Awards, BBC 100 Women dan Bloomberg Green 30.
Tetapi kejayaan yang mahu beliau lihat sama ada Bangkok masih wujud di peta dalam tempoh 50 tahun akan datang.
Kotchakorn, arkitek landskap yang membawa misi hijau untuk Bangkok.
Sejak menubuhkan Landprocess pada 2012, Kotchakorn membawa pendekatan berbeza apabila menggunakan alam semula jadi sebagai infrastruktur hidup.
Baginya, tumbuhan, tanah dan air bukan sekadar elemen hiasan, tetapi medium utama untuk membina bandar tahan lasak.
Contoh terbaik ialah Chulalongkorn Centenary Park, siap pada 2017.
Tapak bandar yang dulunya terbiar diubah menjadi taman awam dengan sistem paya buatan, kawasan tadahan hujan dan tanaman biodiversiti yang mampu mengumpul serta menapis sejuta gelen air hujan.
Selain menyelamatkan bandar daripada banjir, ia juga menjadi ruang rekreasi hijau untuk penduduk.
Chulalongkorn Centenary Park.
Projek lain ialah Thammasat Urban Farm, siap pada 2019 dan kini menjadi ladang organik atas bumbung terbesar di Asia.
Berkeluasan 22,000 meter persegi, ladang itu direka menyerupai sawah padi bertingkat tradisional.
Sistem tanaman bertingkat itu bukan sahaja mampu melambatkan aliran air hujan 20 kali lebih berkesan berbanding konkrit, malah menghasilkan sekitar 20 tan makanan organik setiap tahun.
Kini, Kotchakorn turut melatih pasukan kerajaan di seluruh Asia Tenggara tentang teknik penanaman tahan banjir dan pengurusan air, hasil ilmu yang dipelajari melalui projek-projek tersebut.
Thammasat Urban Farm.
Projek terkininya lebih mencabar iaitu mengubah Kompleks Kerajaan di daerah Lak Si, Bangkok.
Daripada sekadar menambah lanskap biasa pada kawasan seluas 178 ekar itu, beliau memasukkan koridor hijau biodiversiti, taman atas bumbung dengan spesies tempatan, serta sistem penyejukan semula jadi menggunakan tumbuhan.
Menurutnya, "Bangunan kerajaan sering melambangkan kuasa, bukannya kebersamaan. Tetapi bagaimana kalau seni bina awam ini boleh menggambarkan ketelusan, kelestarian dan hubungan manusia dengan alam?"
Bangkok berdepan cabaran banjir akibat tenggelam 2 sentimeter setiap tahun.
Kotchakorn sedar, taman yang cantik tidak cukup jika sistem besar di sekelilingnya masih rosak.
Baginya, perubahan sebenar hanya boleh berlaku jika komuniti, pembuat dasar, jurutera, saintis, dan penduduk bekerjasama dalam satu ekosistem.
Itulah sebabnya beliau menubuhkan Porous City Network pada 2017 iaitu sebuah perusahaan sosial yang dikendalikan arkitek landskap dan perancang bandar untuk menggerakkan komuniti, terutama golongan muda, membina penyelesaian berasaskan tumbuhan.
Daripada ladang bandar, bumbung hijau, taman tadahan hujan hinggalah terusan dengan tumbuhan penyerap air, rangkaian itu berusaha menukar hutan konkrit Bangkok menjadi kota yang mesra alam.
Porous City Network menggerakkan komuniti membina bandar mesra alam.
Bagi Kotchakorn, arkitek landskap bukan lagi sekadar pencipta taman atau ruang awam, tetapi penggerak perubahan.
Dalam bandar seperti Bangkok yang semakin terancam dengan banjir, setiap projek hijau yang dibina bukan sahaja soal reka bentuk, tetapi juga soal kelangsungan hidup.
"Landskap bukan hanya tentang keindahan, tetapi tentang menyelamatkan masa depan," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram