
RABU lalu, dunia terpukau dengan sebuah perarakan yang dianjurkan kerajaan China di Tianamen Square, Beijing bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia kedua.
Himpunan itu menyaksikan kuasa besar dunia tersebut mempamerkan aset ketenteraan dimiliki, termasuk ribuan anggota dan pegawai yang berkawad di hadapan Presiden China, Xi Jinping.
Lebih menarik lagi, perarakan berkenaan turut disertai beberapa pemimpin negara seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin, Presiden Korea Utara, Kim Jong-un serta beberapa sekutu lain.
BACA LAGI: [VIDEO] Dari makanan ke tarian, wartawan China kongsi persamaan Hainan dan Malaysia
Perarakan tersebut juga disaksikan di seluruh dunia apabila siaran langsung meraih hampir jutaan tontonan tatkala orang ramai terpukau akan kecanggihan teknologi China.
Malah, seteru utama negara Asia berkenaan dari segi ketenteraan dan ekonomi, Amerika Syarikat (AS) juga tidak terkecuali dengan Kementerian Pertahanan yang berpusat di Pentagon disebut-sebut turut menyaksikan himpunan besar-besaran itu.
Ini selepas sebuah akaun media sosial menggunakan nama Yuyuan Titian mendapati terdapat peningkatan pesanan sehingga empat kali ganda daripada beberapa cawangan piza sekitar Pentagon, termasuk Domino's dan Papa John.
Menurutnya, kenaikan itu dikesan ketika perarakan ketenteraan tersebut sedang berlangsung yang membuatkan ramai pihak beranggapan anggota dan pegawai tentera di bangunan terbabit membeli piza untuk dinikmati semasa menontonnya.
Pesanan piza di Pentagon kerap meningkat setiap kali berlakunya konflik atau peristiwa penting.
Hal tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana setiap kali sesebuah peristiwa besar berlaku, peningkatan dari segi pesanan makanan segera itu disaksikan secara mendadak sehingga membuatkan sesetengah pihak melabelnya sebagai 'Pentagon Pizza Index'.
Perkara itu turut terjadi pada penghujung bulan lalu apabila Presiden AS, Donald Trump mengalami masalah kesihatan yang memaksa anggota tentera berpangkalan di Pentagon berada dalam mod bersedia sepanjang masa.
Selain itu, kenaikan turut berlaku ketika kuasa besar ketenteraan dunia itu melancarkan serangan ke atas Iraq dan beberapa negara lain sekitar Timur Tengah disebabkan insiden 11 September 2001.
Pentagon sebelum ini menyatakan kenaikan tersebut hanyalah satu kebetulan, namun ia masih tidak dapat menutup persepsi bahawa AS tidak pernah leka daripada memantau sebarang hal berlaku di seluruh dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram