SEORANG pengasuh di Surabaya, Indonesia bertindak di luar kawalan apabila memberi anak majikannya yang berusia dua tahun dadah jenis dexamethasone atau steroid setiap hari.
Tindakan suspek wanita yang hanya digelar NB bertujuan untuk memastikan badan kanak-kanak terbabit kekal berisi dan gemuk.
Katanya ketika disoal siasat polis, pemberian steroid itu adalah disebabkan kanak-kanak tersebut menolak untuk makan masakan yang disediakannya.
BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga di Terengganu minta maaf, tak bakar jagung dah takut beri kesan kepada pelanggan
Pesuruhjaya Polis Jawa Timur, Farman berkata, suspek memberi dadah secara paksa sejak mangsa berumur setahun hingga dua tahun tiga bulan ketika bekerja di rumah majikannya di Kendangsari, Kecamatan Tenggilis Mejoyo, Surabaya.
"Suspek mengaku memberi dadah untuk menggemukkan mangsa. Malangnya, ubat ini bukan untuk kanak-kanak, sebaliknya ubat untuk orang dewasa.
"Bukan itu sahaja, ubat tersebut juga adalah sejenis steroid yang memberi kesan kepada hormon pertumbuhan mangsa," katanya.
Farman berkata, NB mengakui bahawa ubat tersebut dijadikan sebagai penambah selera makan dan dibeli secara dalam talian sejak September 2023.
Katanya, suspek memberi ubat tersebut dengan cara menghancurkan sebiji pil bujur oren dan sebiji pil pentagon biru, kemudiannya melarutkannya di dalam air minuman mangsa setiap hari sebelum tidur.
Menurutnya, ia merupakan rutin hariannya sehingga berat badan mangsa kini meningkat 1kilogram (kg) hingga 2kg sebulan.
"Pada Disember 2023, mangsa menghidap selsema sehingga ibunya dikenali sebagai LK membawanya dan NB berjumpa doktor.
"Selepas diperiksa, doktor mengingatkan LK dan NB bahawa mangsa perlu berdiet. Ini kerana berat mangsa yang mencecah 20kg pada usia dua tahun.
"Doktor turut mendapati, muka dan badan mangsa yang bengkak dan sembap," jelasnya.
Hasil pemeriksaan itu sekali gus menimbulkan kecurigaan kepada LK sebelum menemui gelas minuman anaknya di dalam laci yang berisi serbuk oren kering dan satu botol kecil putih mengandungi sembilan biji pil oren dan biru.
Susulan itu, polis bertindak menahan suspek dan akan dijatuhkan hukuman di bawah Akta 44 Ayat 1 Undang-Undang KDRT dan Akta 436 UU Kesihatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram