RUSIA mula menempatkan peluru berpandu balistik antara benua yang berkeupayaan membawa peledak nuklear di tempat pelancaran senjata tersebut di selatan negara itu, lapor kementerian pertahanan.
Presiden Vladimir Putin pada Khamis memaklumkan misil tersebut dilengkapi kenderaan luncur hipersonik yang digelar Avangard, sekali gus mencetuskan kebimbangan penggunaan senjata nuklear dalam perang Rusia-Ukraine yang kini sudah berlanjutan hampir dua tahun.
Menteri Pertahanan Rusia menerusi saluran televisen Zyezda menunjukkan sebuah peluru berpandu balistik sedang dialihkan ke silo pelancaran, secara beransur-ansur dinaikkan ke kedudukan menegak, dan kemudian diturunkan ke dalam lubang di Orenburg, Rusia berhampiran Kazakhstan.
Rusia menempatkan peluru berpandu balistik di lokasi strategi.
Pada 2018, Vladimir mengumumkan tentang pembangunan senjata canggih tersebut sebagai tindak balas terhadap pembangunan senjata baharu Amerika Syarikat (AS) dan kemampuannya untuk menembusi sistem pertahanan Washington.
Menurutnya, senjata itu juga boleh mencapai sasaran pada 27 kali lebih pantas daripada kelajuan bunyi (kira-kira 34,000 kilometer sejam) dan mampu bergerak secara mendadak di luar trajektori roket.
Difahamkan, Rusia pernah berjaya menguji Avangard sebanyak dua kali pada 2016 dan senjata baharu tersebut adalah sistem sama dibangunkan China yang telah mencetuskan kebimbangan AS hingga Pentagon terpaksa memikirkan strategi pertahanan baharu.
Pada 2019, Rusia membangunkan peluru berpandu pertama yang dilengkapi Avangard menggunakan kemudahan yang sama di Orenburg.
Sebagai rekod, hubungan di antara Rusia dan Amerika Syarikat sememangnya bergolak sejak sekian lama.
Setakat ini, Amerika Syarikat meletakkan China sebagai pesaing terbesarnya dan Rusia sebagai ancaman utama terhadap negara itu.
Sebelum ini, kedua-dua negara tersebut yang terlibat dalam perlumbaan senjata semasa Perang Dingin, akhirnya sama-sama bersetuju untuk mengurangkan risiko perang nuklear.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kedua-dua negara itu sdilihat saling meningkatkan pembangunan pelbagai sistem senjata baharu termasuk berkeupayaan hipersonik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram