
MISTERI bau busuk yang menyelubungi sebuah kejiranan di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia akhirnya terbongkar apabila penemuan beberapa mayat dalam sebuah rumah.
Menurut laporan di Indonesia, penduduk di kejiranan tersebut pada mulanya mengesyaki terdapat bau busuk dari sebuah rumah dengan mereka sangkakan ia adalah disebabkan bangkai tikus.
Namun begitu, penemuan oleh orang ramai pada Isnin menyaksikan bau tersebut disebabkan oleh mayat penduduk dalam rumah itu seramai lima orang.
BACA LAGI: [VIDEO] Kemenangan buat rakyat Indonesia, Prabowo setuju hapus elaun DPR
Menurut jiran kepada keluarga itu yang dikenali sebagai Okta, penemuan mayat lima sekeluarga itu terjadi selepas usaha mereka menghubungi mereka tidak menemui hasil.
Kata Okta, rumah diduduki oleh keluarga itu kelihatan sepi dan berkunci, namun bau busuk yang cukup menyengat dapat dihidu oleh penduduk sekitar.
"Kejadian itu berlaku pada petang Isnin, ketika itu orang ramai sudah mula datang. Terus pintu rumahnya dipecahkan," ujarnya.
Ketika mayat ditemui, mangsa dikenali sebagai H. Sahroni, 75, Budi, 45, Euis, 40, serta dua kanak-kanak iaitu R, 6, dan B, 3.
Pada mulanya, mereka menemui mayat Sahroni dibawah timbunan tanah di bahagian belakang rumah.
Orang ramai kemudiannya mula menggali timbunan tersebut dan menemui mayat ahli keluarga yang lain.
Si pelaku masih lagi tidak dapat dikesan dengan motif pembunuhan juga belum dipastikan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram