
MALANG tak berbau. Itulah ungkapan sesuai untuk menceritakan nasib dialami dua pempengaruh yang juga merupakan penilai makanan di Texas, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Dalam satu kejadian berlaku pada Selasa, kedua-dua mereka, iaitu NinaUnrated dan Patrick Blackwood dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabas ke arah restoran ketika mereka sedang menikmati makanan.
Mereka pada ketika itu sedang menghasilkan konten untuk laman media sosial masing-masing dengan ia merupakan kali pertama kolaborsi sedemikian diadakan.
BACA LAGI: 'Mudahnya jadi jutawan', ramai terkejut pempengaruh dedah harga 'review' RM100,000 untuk 4 jam
BACA LAGI: Pentingnya 'review' jujur! Influencer, selebriti elak 'overclaim', waspada promosi produk kesihatan
Kedua-dua pempengaruh tersebut pada awalnya sedang menikmati hidangan berupa burger dalam restoran terkenal, Cuvee Culinary Reactions yang kerap dikunjungi peminat makanan berasaskan daging.
Tetapi, sedang masing-masing menikmati suapan pertama, mereka dikejutkan apabila sebuah SUV secara tiba-tiba terbabas ke arah dinding restoran yang menyebabkan kerosakan teruk.
Kedua-dua pempengaruh yang kelihatan amat terkejut dengan kejadian tersebut segera meninggalkan tempat duduk masing-masing sambil orang ramai berhampiran tampak panik.
Laporan terkini menyatakan kedua-dua pempengaruh itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius, namun NinaUnrated terpaksa ditahan di wad bagi mendapatkan rawatan.
Ini selepas beberapa luka kelihatan di tubuhnya disebabkan serpihan cermin berterbangan disebabkan insiden itu seperti mana dikongsikan di laman Instagram peribadinya.
Sementara itu, Blackwood tidak berkongsi sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden berkenaan dengan hanya menyatakan dia bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk terus hidup.
Pihak polis Texas masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung fakta lanjut kes terbabit meskipun pengikut kedua-dua mereka terus mendesak agar maklumat lanjut mengenai pemandu SUV itu dapat didedahkan kepada umum. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram