
SEORANG buruh binaan terpaksa menunggang motosikal sejauh lebih 80 kilometer sambil membawa mayat isterinya yang diikat menggunakan dupatta.
Wanita berkenaan maut dalam satu kemalangan langgar lari di Lebuhraya Nagpur–Jabalpur, berhampiran kawasan hutan Rizab Harimau Pench, Deolapar.
Mangsa, Amit Yadav, 36, dari Madhya Pradesh dilaporkan dalam perjalanan ke kampung halamannya di Karanpur bersama isterinya, Gyarshi, 35, untuk menyambut perayaan Rakshabandhan.
BACA LAGI: Lelaki nekad tamatkan riwayat sendiri selepas bakar wanita di Plaza Tol Simpang Renggam
BACA LAGI: 'Diam, jika teruskan... AIDS', Rafizi dedah mesej ugutan diterima isteri
Ketika melalui kawasan sunyi berhampiran sempadan Maharashtra dan Madhya Pradesh, motosikal mereka dipercayai dirempuh sebuah trak dari arah belakang, menyebabkan Gyarshi terjatuh ke atas jalan sebelum digilis.
Trak tersebut kemudiannya dikatakan melarikan diri dari lokasi kejadian.
Dalam keadaan panik, tanpa liputan rangkaian telefon dan tiada bantuan daripada pengguna jalan lain, Amit bertindak mengikat mayat isterinya pada tempat duduk motosikal menggunakan dupatta sebelum memecut pulang ke rumah mereka di Lonara, Nagpur.
Kejadian berlaku dalam keadaan hujan lebat dan Amit dikatakan menempuh jalan-jalan tanah serta laluan terpencil bagi mempercepat perjalanan pulang.
Sepanjang perjalanan itu, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian tersebut dilaporkan mengejar motosikal berkenaan beberapa kali.
Namun, Amit yang berada dalam keadaan terkejut dan terganggu emosi tidak berhenti, sebaliknya meneruskan perjalanannya.
Rakaman video insiden itu yang dipercayai dirakam pihak berkuasa tular di media sosial dan mencetuskan reaksi meluas daripada orang awam.
Polis akhirnya berjaya menahan Amit di rumahnya dan membawa mayat Gyarshi ke Hospital Kolej Perubatan Indira Gandhi, Nagpur untuk bedah siasat.
Laporan post-mortem masih ditunggu bagi menentukan punca sebenar kematian serta mengenal pasti sebarang kemungkinan unsur jenayah.
Siasatan juga mendapati terdapat empat buah trak yang disyaki terlibat dan usaha menjejak kenderaan serta pemandu terbabit sedang dijalankan.
Insiden itu mencetuskan perdebatan berhubung kegagalan sistem bantuan kecemasan di kawasan lebuh raya terpencil.
Ramai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan infrastruktur dan tindakan segera dalam menyelamatkan mangsa kemalangan jalan raya, yang berpotensi menyelamatkan nyawa jika sistem lebih efisien tersedia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram