[VIDEO] Kes anak panah tembus kereta: Aduan dibuat terhadap MSN Pulau Pinang, latihan memanah dihentikan


  • Tular
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Tangkap layar menunjukkan sebuah kereta didapati terkena anak panah akibat tersasar dari sasaran utama.

POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung insiden sebuah kenderaan terkena anak panah yang dipercayai dilepaskan dari sebuah padang berhampiran Jalan Macalister, George Town di Pulau Pinang.

Insiden itu turut tular di media sosial selepas video memaparkan sebuah kereta berwarna putih terkena anak panah mula tersebar, mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, laporan dibuat oleh pemandu kereta berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dari Ayer Itam. 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ini kawasan saya punya', warga asing jadi prebet sapu tanpa lesen memandu, caj tambang hingga RM1,000

BACA LAGI: [VIDEO] Dua kali ‘petik’ pakai lutut, Sultan Pahang tunjuk skil main sepak takraw bersama rakyat di Pulau Tioman

 

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang, Rabu lalu, ketika mangsa sedang memandu dari Ayer Itam menuju ke Jalan Pangkor.

“Ketika melalui Jalan Macalister, tiba-tiba sebuah anak panah dipercayai datang dari arah padang berhampiran, tertusuk pada pintu belakang sebelah kanan kenderaannya.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Abdul Rozak, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati padang berhampiran lokasi kejadian digunakan bagi aktiviti latihan sukan memanah yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang.

“Latihan sukan memanah yang dijalankan di kawasan padang sebuah sekolah berhampiran telah dihentikan pada Khamis, sehari selepas kejadian.

“Kejadian ini juga telah dimaklumkan kepada pihak MSN dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang oleh pihak sekolah yang terlibat,” jelasnya.

Dalam masa sama, Abdul Rozak menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu, tular satu insiden membimbangkan di Pulau Pinang mencetuskan kegusaran apabila sebuah kereta terkena anak panah yang dipercayai tersasar semasa aktiviti memanah dijalankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram