[VIDEO] Hisap vape dalam pesawat, jurulatih selebriti Pickelball mohon maaf selepas dikecam


  • Benua
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Tangkap layar Peter (kanan) menghisap vape dalam tandas pesawat American Airlines 2860 dari Phoenix ke Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, Amerika Syarikat. — Agensi

TINDAKAN seorang jurulatih selebriti sukan Pickleball, Peter Nguyen, menghisap rokok elektronik (vape) dalam tandas pesawat membawa padah apabila perbuatannya dirakam dan menjadi tular di media sosial.

Menurut laporan awal stesen KTVU di San Francisco, insiden itu berlaku pada 4 Ogos lalu ketika Peter menaiki penerbangan American Airlines 2860 dari Phoenix ke Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, Amerika Syarikat yang mengambil masa dua jam.

Peter mendakwa dia hanya menghisap sekali vape sebelum seorang pramugari masuk ke tandas.

BACA LAGI: Tindakan netizen kongsi maklumat kes Zara Qairina hanya peranan kecil, boleh cetus salah faham — Peguam

BACA LAGI: [VIDEO] Kantoi mencuri, warga asing di Pulau Pinang jadikan bayi tebusan ketika cuba larikan diri

Dalam video berdurasi hampir dua minit, Peter kedengaran memberitahu pramugari bahawa dia sedang duduk di tandas ketika pintu dibuka.

Pramugari berkenaan kelihatan menerangkan bahaya keselamatan akibat tindakannya sebelum Peter memohon maaf.

“Awak boleh terus kata maaf, tapi saya bertanggungjawab terhadap semua penumpang,” kata pramugari tersebut.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), merokok dalam apa jua bentuk termasuk vape adalah dilarang sama sekali di dalam pesawat dan merupakan kesalahan di bawah undang-undang persekutuan.

 

 

 

 

Dalam rakaman tersebut, pramugari berkenaan dilihat cuba meraih telefon Peter selepas menyedari dirinya sedang dirakam.

Peter mendakwa wanita itu meletakkan tangan padanya, namun tiada sentuhan fizikal kelihatan dalam video.

Ketika ditemu bual secara sidang video pada pada Jumaat, Peter yang terkenal sebagai jurulatih selebriti Pickleball mengakui menyesal atas perbuatannya.

“Saya harap saya tak pernah mula guna vape dari awal,” katanya sambil menjelaskan bahawa ketika tinggal 35 minit sebelum mendarat, dia mengalami simptom ketagihan nikotin.

“Perit rasanya bila nak rasa diri sendiri, saya perlu ada nikotin. Saya rasa begitu tak berdaya,” ujarnya.

Peter turut menuntut permohonan maaf daripada pramugari kerana membuka pintu tandas ketika dia mendakwa sedang menggunakannya.

Bagaimanapun, dia kini mengakui berasa malu kerana tertangkap, dan sedang berusaha menghentikan tabiat vaping selepas insiden itu tular.

“Semakin kerap melakukannya, semakin kurang kesannya. Badan kita akan membina toleransi,” katanya.

Dia turut memohon maaf kepada penumpang lain.

“Dari lubuk hati saya, saya minta maaf kepada semua penumpang. Tiada alasan, tiada justifikasi untuk apa yang berlaku,” tegasnya.

American Airlines memaklumkan, penumpang berkenaan direkodkan atas kelakuan mengganggu, namun kru penerbangan tidak meminta tindakan lanjut daripada pihak polis.

Peter juga berkata dia tidak dikenakan sebarang denda oleh oleh pihak berkuasa dan tidak menerima sebarang notis daripada American Airlines berkaitan senarai larangan terbang.

Terdahulu, tindakan Peter memuat naik video yang mempersalahkan pramugari tanpa menyedari kesilapan dirinya sendiri telah mengundang kemarahan netizen.

Rata-rata pengguna media sosial mengecam perbuatannya dan menuntut agar dia membuat permohonan maaf secara terbuka secara dalam talian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram