
ISU Jalur Gemilang dipasang terbalik sekali lagi mengundang rasa kurang senang rakyat, apabila rakaman sebuah premis memaparkan insiden itu tular di media sosial.
Biarpun tidak dinyatakan lokasi tepat, video yang dimuat naik pengguna Facebook, Guroh Derhaka pada Selasa itu dipercayai dirakam di ibu negara dan pantas mencetuskan kecaman warga maya.
Seorang pengguna Facebook, Mo Hafiz menyifatkan tindakan tersebut sebagai perbuatan tidak menghormati lambang keramat negara, apatah lagi ia bukan kali pertama berlaku.
BACA LAGI : Tindakan netizen kongsi maklumat kes Zara Qairina hanya peranan kecil, boleh cetus salah faham — Peguam
“Bila tiada hukuman dikenakan, makin ramai yang tidak hormat. Tak kisahlah bangsa apa pun, kalau tak hormat bendera, kenakan denda atau buat kerja amal,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Khairul berpendapat kejadian seperti itu sering berlaku setiap kali bulan kemerdekaan.
“Disengajakan atau tidak, yang pasti melihat pada ketinggian bendera itu, bukanlah budak yang pasang. Nilaikan sendiri,” ujarnya.
Seorang lagi warga maya, Faisal Ibrahim mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan lebih keras terhadap mana-mana individu atau pihak yang menggantung bendera secara terbalik bagi memastikan ia tidak berulang.
"Mohon ambil tindakan yang lebih tegas dan denda yang tinggi. Ini isu serius, sampai bila kena berhadapan dengan situasi seperti ini," tegasnya.
Untuk makluman, menggantung bendera Malaysia secara terbalik adalah perbuatan tidak sopan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana dianggap menghina negara.
Pelaku boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Selain itu, kesalahan juga boleh disabitkan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 bagi perbuatan dengan niat jahat atau melanggar ketenteraman awam.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan bangkitan marah dan pecah keamanan membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 boleh dihukum denda tidak melebihi RM100 manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan dan kebanggaan negara, justeru setiap warganegara bertanggungjawab menjaganya. Jika terlihat bendera negara dipasang terbalik, orang ramai disaran segera melaporkan kepada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram