
SUASANA di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air dekat Butterworth, Pulau Pinang bertukar kecoh apabila seorang lelaki warga asing bertindak nekad menjadikan seorang bayi sebagai tebusan selepas dipercayai mencuri pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, suspek didakwa warga Vietnam itu pada mulanya ditahan oleh staf dan pengawal keselamatan pasar raya kerana disyaki mengambil barangan tanpa membayar.
Bagaimanapun, ketika dibawa ke bahagian belakang premis, lelaki tersebut tiba-tiba mengamuk, melepaskan diri dan mengacu sebilah pisau kepada seorang bayi yang berada di dalam troli.
BACA LAGI: Penggalian semula kubur Zara Qairina sedang dijalankan
Kejadian itu juga berjaya dirakam orang awam yang berada di tempat kejadian dan dimuat naik di laman Facebook, Penang Kini pada hari yang sama.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan, suspek dipercayai cuba menggunakan bayi berkenaan sebagai tebusan untuk keluar daripada pasar raya tersebut.
“Tindakan pantas pengawal keselamatan dan orang awam berjaya menyelamatkan bayi terbabit sebelum suspek ditahan pihak polis,” katanya.
Kejadian itu mengakibatkan seorang pengawal keselamatan cedera ringan, manakala bayi berkenaan mengalami lebam dan kini dirawat di hospital.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan berani pengawal keselamatan dan orang awam yang pantas bertindak, malah ada yang menggesa pihak berkuasa mengetatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Seorang pengguna, Ahmad Fadzil, berkata kejadian tersebut wajar menjadi pengajaran kerana tindakan jenayah melibatkan kanak-kanak boleh membawa padah besar.
“Syukur bayi itu selamat… tapi saya harap pihak polis siasat latar belakang suspek,” katanya.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak polis atau pihak pengurusan pasar raya berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram