[VIDEO] Bertumbuk atas padang, pengadil diserang terpaksa buat repot polis — Penganjur Liga Integriti Hilir Perak


  • Podium
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Tangkap layar perlawanan Liga Integriti Hilir Perak (Piala Datuk Mohd Azhar Jamaluddin) 2025 antara Padang Tembak FC dan Jenderata FC pada Khamis.

PERLAWANAN Liga Integriti Hilir Perak (Piala Datuk Mohd Azhar Jamaluddin) 2025 antara Padang Tembak FC dan Jenderata FC pada Khamis bertukar kecoh apabila pemain kedua-dua pasukan terbabit dalam insiden tumbuk-menumbuk di tengah padang.

Dalam kejadian yang berlaku di Stadium Mini Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Perak itu turut berjaya dirakam orang awam yang berada di tempat kejadian dan tular pada hari yang sama.

Aksi yang bermula pukul 5 petang itu terpaksa ditamatkan lebih awal selepas kekecohan tercetus, sekali gus mencemari semangat kesukanan.

BACA LAGI: Pernah dilabel lebih hebat berbanding Arif Aiman, sayangnya Messi-Neymar Malaysia 'karam' angkara cedera dan konsistensi

BACA LAGI: Kibar Jalur Gemilang ada tanda pangkah, fans Indonesia didakwa jelas langgar peraturan FIFA

Keadaan menjadi lebih tegang apabila pengadil perlawanan didakwa diserang sehingga mengalami kecederaan.

 

 

 

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Liga Integriti Hilir Perak 2025, Persatuan Bolasepak Daerah Hilir Perak (PBDHP) memaklumkan, pengadil terbabit membuat laporan polis demi keselamatan diri.

"Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Jawatankuasa Tatatertib PBDHP akan bersidang dalam masa terdekat untuk memutuskan hukuman terhadap pihak yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.

“PBDHP berharap insiden seperti ini tidak berulang pada baki perlawanan liga yang masih berlangsung,” katanya.

Jawatankuasa tersebut turut menegaskan penganjur komited memastikan pertandingan dijalankan dalam suasana harmoni dan berdisiplin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram