
HASRAT seorang pembantu rumah warga Indonesa untuk kembali ke pangkuan keluarga bertukar tragedi apabila dia dibawa pulang dalam keadaan koma selepas didakwa menjadi mangsa dera sebuah agensi pekerjaan warga asing di Sarawak.
Mangsa, dikenali sebagai EN, seorang Pekerja Migran Indonesia (PMI) tidak sah dari Nusa Tenggara Timur, dibawa pulang melalui laluan tikus merentas hutan di daerah Sambas, Kalimantan Barat pada Rabu lalu.
Ketua Pasukan Perkhidmatan Perlindungan Balai Pelayanan Pelindungan Pekerja Migran Indonesia (BP3MI) Kalimantan Barat, Sutan Harahap berkata, EN bekerja sebagai pembantu rumah di Kuching, Sarawak sejak Mei lalu melalui sebuah agensi.
BACA LAGI : ‘Siang jadi guru malam nak berjaga’, lantik warden swasta elak kejadian buli di asrama
“Namun, selepas jatuh sakit dan meminta untuk pulang, mangsa dihantar semula ke agensi bukannya kepada keluarga.
"Mangsa mendakwa didera secara fizikal termasuk disiram air, dipukul serta tidak menerima gaji penuh. Malah, agensi itu turut menuntut bayaran ganti rugi,” katanya.
Mangsa mendakwa didera secara fizikal dan mental serta tidak menerima gaji penuh. — Gambar hiasan
Sutan berkata, EN kemudian dihantar pulang menggunakan teksi sewa dari Kuching sebelum dibawa merentas hutan di sempadan hingga tiba di Sambas.
“Keadaan mangsa semakin lemah setibanya di Sambas sehingga tidak sedarkan diri.
"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Daerah Sambas sebelum dirujuk ke Hospital Soedarso Pontianak,” jelasnya.
Hasil pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami simptom penyakit jantung serta trauma fizikal yang dipercayai berpunca daripada penderaan.
Sutan menjelaskan, EN adalah pekerja tidak sah kerana masuk ke Malaysia tanpa melalui saluran rasmi kerajaan.
“Majikan mangsa dilaporkan melayan dengan baik, namun pihak agensi bertindak sebaliknya. Kami akan meneruskan siasatan kes ini dan bekerjasama dengan pihak berkuasa,” tegasnya.
BP3MI Kalimantan Barat mengecam keras pengambilan pekerja secara haram yang memperdagangkan warganegara tanpa perlindungan undang-undang, selain menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran ejen atau ‘tekong’.
“Gunakan saluran penempatan rasmi kerana ia menjamin hak pekerja serta perlindungan undang-undang sewajarnya,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram