
CADANGAN menaikkan had umur persaraan wajib kepada 65 tahun dilihat kurang sesuai dengan keadaan semasa.
Ini kerana ada dalam kalangan rakyat yang berpendapat usia 55 tahun masih relevan untuk menamatkan kerjaya tetap dan memberi peluang kepada generasi muda memasuki pasaran kerja.
Seorang pengguna Facebook, Sharifah R. Saqqaf berpandangan bahawa usia 55 tahun adalah fasa terbaik untuk beralih fokus kepada perkara lain seperti ibadah, keluarga dan hobi.
BACA LAGI: BNPL bukan penyelesaian tekanan kos sara hidup, sebaliknya perangkap — Perunding Kewangan
BACA LAGI: Salahkan guru saja takkan selesai isu buli — KGMMB
“Masih sihat, masih bertenaga. Kalau masih nak kerja, gunakan pengalaman sebagai kelebihan. Boleh kerja freelance atau konsultansi, tak perlu pegang jawatan tetap sampai usia lanjut,” katanya.
Seorang lagi warga maya, Mohd Hisham Md Napie pula berkata, langkah mengekalkan umur persaraan pada 55 tahun akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan muda.
“Bagi peluang pesara berehat dalam keadaan masih sihat. Dalam masa sama, lepasan universiti yang sedang mencari kerja tidak perlu tunggu sehingga yang lama bersara,” katanya.
Sebelum ini, pada Rabu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan kajian berhubung cadangan menaikkan had umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun.
Menurut beliau, kajian menyeluruh akan dilaksanakan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Cadangan itu turut disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang antara lain menyasarkan penyesuaian dasar selari dengan peralihan Malaysia kepada status negara tua.
Namun begitu, orang ramai berharap kerajaan mempertimbangkan secara teliti kesan dasar tersebut terhadap peluang pekerjaan anak muda dan kesejahteraan hidup pesara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram