
KANSER payudara lazim dikaitkan dengan wanita. Namun, realitinya, lelaki juga tidak terkecuali daripada serangan penyakit tersebut.
Lebih membimbangkan, tahap agresif sel kanser dalam kalangan lelaki didapati lebih tinggi berbanding wanita.
Menurut Ketua Unit Pembedahan Payudara, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr See Mee Hoong, masih ramai tidak menyedari bahawa lelaki juga mempunyai tisu payudara yang boleh berkembang menjadi kanser.
BACA LAGI : Kempen golf ‘Swing for Pink’ bantu kumpul dana saringan kanser PPUM untuk golongan B40
BACA LAGI : Ibu muda kurang dapat sokongan, proses menyusukan anak boleh cetus tekanan mental — Pakar
"Secara global, satu peratus kes kanser payudara berlaku dalam kalangan lelaki.
"Di Malaysia, statistik menunjukkan pola yang hampir sama dan 99 peratus pesakit adalah wanita, manakala hanya satu peratus melibatkan lelaki.
"Nisbahnya mungkin kecil iaitu satu dalam 100,000, tetapi itu bukan alasan untuk memandang ringan penyakit tersebut dan pemeriksaan awal amat penting jika terdapat simptom mencurigakan,” katanya kepada Majoriti.
Dr See Mee Hoong
Malangnya, kebanyakan pesakit lelaki hanya mendapatkan rawatan selepas penyakit berada pada tahap lewat sama ada disebabkan rasa malu atau stigma yang menganggap kanser payudara hanya menyerang wanita.
Dr See menjelaskan bahawa punca utama termasuk mutasi genetik, faktor gaya hidup dan ketidakseimbangan hormon juga menyumbang kepada risiko tersebut.
"Seperti wanita, sejarah keluarga turut memainkan peranan.
"Selain itu, lelaki yang merokok dan mengabaikan gaya hidup sihat turut berisiko lebih tinggi.
"Risiko meningkat seiring usia. Malah, kondisi seperti gynecomastia atau pembesaran tisu payudara juga boleh menjadi faktor, walaupun bukan penyebab utama," ujarnya.
Golongan lelaki lelaki tidak boleh terus leka. Jangan biarkan stigma atau rasa malu menjadi penghalang untuk mendapatkan rawatan.kanser payudara. — Gambar Hiasan/Agensi
Beliau menegaskan bahawa kesedaran awal sangat penting dan sebarang ketulan, perubahan kulit atau kelainan pada bahagian dada harus diteliti segera melalui pemeriksaan ultrasound, mamogram atau biopsi.
"Biopsi penting untuk mengesahkan diagnosis. Rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa," katanya.
Tegas beliau, lelaki tidak boleh terus leka. Jangan biarkan stigma atau rasa malu menjadi penghalang untuk mendapatkan rawatan.
"Lebih awal kanser dikesan, lebih tinggi peluang untuk sembuh. Jangan tunggu hingga terlambat.
"Hakikatnya, tiada siapa terkecuali daripada risiko penyakit, termasuk kanser payudara dalam kalangan lelaki. Ia mungkin jarang berlaku, namun impaknya cukup besar jika diabaikan.
"Lebih awal kita mengenali tanda-tanda, lebih cerah peluang untuk sembuh. Jangan biarkan rasa malu atau kekeliruan menghalang kita daripada menjaga kesihatan diri sendiri, " katanya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram