
SEBUAH lagi bencana alam melanda dengan kali ini, pekan kecil, Uttarkashi yang berada dalam daerah Uttarakhand di utara India dilanda banjir kilat sehingga mengorbankan penduduk pada Selasa.
Dalam beberapa video dikongsikan di media sosial, kelihatan arus deras membawa air dan lumpur dari kawasan pergunungan Himalaya melanda perkampungan tersebut.
Kawasan perumahan yang terletak di kaki gunung tersebut dilanda banjir kilat terbabit dengan arus terlalu kuat sehingga melepasi bumbung rumah dan beberapa buah kedai.
BACA LAGI: [VIDEO] Detik cemas helikopter hampir terhempas, pilot muncul wira selamatkan 5 penumpang di India
BACA LAGI: [VIDEO] India sekali lagi berduka, 7 maut nahas helikopter di Kedarnath
Setakat ini, laporan agensi media antarabangsa melaporkan empat penduduk sudah terkorban dengan pihak berkuasa masih berusaha menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap.
Pihak ketenteraan India dalam satu kenyataan berkata, bencana tersebut berlaku selepas lumpur mengalir secara deras yang kemudian mencetuskan banjir.
"Banjir kilat dalam bentuk lumpur melanda Kampung Dharali di Kheer Gad yang berhampiran Harsil dan selepas itu menyaksikan arus lebih kuat membawa air dan pelbagai objek lain ke kawasan penduduk," tulisnya menerusi akaun X.
Pihak penyelamat turut dikerah ke seluruh daerah Uttarakhand bagi membantu mangsa terkesan sambil menegaskan setiap langkah diambil bagi mengelakkan lebih ramai penduduk terkorban.
Keadaan perkampungan tersebut selepas dilanda arus deras yang membawa air dan lumpur.
Agensi Pengurusan Bencana Alam India dilaporkan sudah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan pusat untuk meminjamkan tiga buah helikopter bagi membantu operasi membantu dan menyelamat memandangkan kawasan pergunungan menyukarkan pihak penyelamat memasuki lokasi terjejas
Jabatan Meteorologi India turut mengeluarkan amaran tahap tinggi untuk kawasan terkesan dan menjangkakan hujan amat lebat akan turun di bahagian terpencil Uttarakhand.
Ini merupakan siri terbaru dalam gelombang bencana alam yang melanda kebelakangan ini selepas gunung berapi meletus serta gempa bumi kuat melanda tiga negara, termasuk Rusia dan Jepun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram