Jambatan runtuh, bidan redah arus deras sungai demi bantu pesakit tibi terperangkap banjir


  • Sukses
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Walaupun pakaian yang dibawa basah akibat meredah sungai, namun itu bukan penghalang untuknya meneruskan misi rawatan. — Gambar hiasan/Freepik AI

DEMI menjalankan tanggungjawab sebagai petugas kesihatan, seorang bidan sanggup mempertaruhkan keselamatan diri dengan meredah arus deras Sungai Batang Pasaman, Sumatera Barat, Indonesia.

Tindakan itu dilakukan bagi merawat seorang pesakit batuk kering (tibi) di kawasan pedalaman yang terputus hubungan akibat banjir.

Bidan berkenaan, Dona Lubis berkata, beliau tiada pilihan selain menyeberangi sungai selepas satu-satunya jambatan yang menghubungkan Kejorongan Sinuangon, Nagari Cubadak Barat, Kecamatan Dua Koto, Sumatera Barat runtuh dalam kejadian banjir pada sejak Jumaat lepas.

“Dalam perjalanan, saya dapati jambatan telah runtuh. Saya terpaksa menuruni tebing curam dan meredah arus deras untuk sampai ke rumah pesakit yang memerlukan rawatan segera,” katanya pada Ahad.

BACA LAGI: Ternanti-nanti jodoh? Ramai tak tahu doa ini mampu jadi kunci pasangan soleh dan solehah

BACA LAGI: [VIDEO] Masih serumah dalam tempoh iddah, bukan semua perceraian boleh rujuk dengan sekadar lafaz sahaja

Tambah wanita berusia 46 tahun itu, pakaian yang dibawa basah akibat meredah sungai, namun itu bukan penghalang untuk meneruskan misi rawatan.

“Kami sentiasa bersiap dengan pakaian kering di belakang. Ini sebahagian daripada cabaran yang biasa dihadapi petugas kesihatan di kawasan pedalaman,” katanya.

Runtuhan jambatan kayu sepanjang 15 meter itu bukan sahaja menyukarkan pergerakan, malah menjejaskan kehidupan lebih 150 keluarga di Kejorongan Sinuangon dan Kejorongan Batang Kundur.

Penduduk Sumarno berkata, mereka kini terpaksa menyeberangi sungai secara manual, termasuk pelajar sekolah.

Harga barang keperluan asas juga meningkat sehingga 150 peratus, manakala tambang motosikal melonjak daripada Rp100,000 (RM25.85) kepada Rp250,000 (RM64.64) seorang.

“Kami tiada pilihan. Mahu tak mahu, kena redah juga sungai kalau nak beli barang atau pergi sekolah,” katanya.

Seorang bidan sanggup mempertaruhkan nyawa meredah arus deras Sungai Batang Pasaman, Sumatera Barat, Indonesia.

Ketua Kampung Cubadak Barat, Kesria Novi berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif membina jambatan sementara sebagai langkah awal, selain memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa daerah.

“Kami telah memohon tindakan segera daripada Pemerintah Kabupaten Pasaman agar jambatan kekal dapat dibina semula secepat mungkin,” katanya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dan kelangsungan hidup komuniti terlibat sekiranya situasi berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.

Tindakan Dona sanggup meredah sungai demi menyampaikan rawatan menerima pujian dan penghargaan daripada masyarakat.

Ramai warga maya menyifatkan beliau sebagai simbol dedikasi dan kemanusiaan dalam sistem kesihatan negara.

Semoga kisah ini menjadi perhatian pihak berwajib agar akses kesihatan di kawasan pedalaman dapat dipertingkatkan dan tidak lagi dipandang sepi,” kata seorang pengguna media sosial.

Bagi Dona, segala cabaran itu bukan penghalang untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“Kami tidak bekerja untuk dipuji, tetapi kerana ini adalah amanah. Apa pun rintangan, pesakit tetap perlu dirawat,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram