
INDIA sekali lagi berduka apabila sebuah helikopter yang membawa tujuh individu termasuk enam penumpang dan seorang juruterbang terhempas berhampiran kuil suci Kedarnath di Uttarakhand, awal pagi Ahad.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 5.30 pagi, helikopter milik syarikat Aryan Aviation Pvt Ltd itu dilaporkan berlepas dari Kedarnath menuju ke Guptkashi sebelum terhempas di kawasan hutan antara Gaurikund dan Trijuginarayan di Kedarghati akibat jarak penglihatan terhad susulan cuaca buruk.
Menurut Pegawai Pengurusan Bencana Daerah Rudraprayag, Nandan Singh Rajwar, nahas berlaku di kawasan hutan Gaurikund dan helikopter tersebut terbakar sejurus terhempas.
BACA LAGI: [VIDEO] Umpama kerusi ajaib, tempat duduk 11A selamatkan nyawa dalam 2 nahas udara
BACA LAGI: [VIDEO] Iran teruskan fasa serangan misil, Haifa jadi sasaran
"Kesemua tujuh mangsa termasuk juruterbang dan enam penumpang disahkan maut di lokasi kejadian," katanya kepada agensi berita PTI.
Sementara itu, The Hindu Times turut melaporkan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun antara mangsa yang maut di dalam tragedi berdarah berkenaan.
India sekali lagi berduka apabila sebuah helikopter yang membawa tujuh individu termasuk enam penumpang dan seorang juruterbang terhempas berhampiran kuil suci Kedarnath di Uttarakhand, awal pagi Ahad. pic.twitter.com/17pTbhBD9T
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) June 15, 2025
Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami dalam satu kenyataan di platform X (Twitter) memaklumkan pasukan penyelamat terdiri daripada Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri (SDRF) dan agensi berkaitan kini sedang giat menjalankan operasi menyelamat dan bantuan di lokasi nahas.
Lebih memilukan lagi, insiden menyayat hati itu berlaku hanya beberapa hari selepas tragedi nahas pesawat Air India yang dalam penerbangan ke London terhempas di Ahmedabad, mengorbankan 241 penumpang serta beberapa mangsa di daratan.
Sebelum ini, pada 8 Mei lalu, sebuah helikopter yang dalam perjalanan ke Gangotri Dham turut terhempas di daerah Uttarkashi, mengorbankan enam individu.
Satu lagi insiden membabitkan helikopter ke Kedarnath berlaku pada 7 Jun lalu apabila pesawat tersebut terpaksa melakukan pendaratan cemas di atas jalan akibat masalah teknikal sejurus berlepas.
Dalam kejadian itu, juruterbang cedera manakala lima lagi berjaya diselamatkan.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar nahas terbaharu berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram