'Saya sampai kena lempar batu', Farah Dhiya kongsi pengalaman zaman sekolah, nasihatkan pembuli hentikan perbuatan sia-sia


  • Maya
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Farah Dhiya tampil berkongsi pengalaman pahit yang pernah dilaluinya ketika zaman persekolahan apabila menjadi mangsa buli sewaktu di tingkatan satu.

PELAKON Farah Dhiya tampil berkongsi pengalaman pahit yang pernah dilaluinya ketika zaman persekolahan apabila menjadi mangsa buli sewaktu di tingkatan satu.

Menerusi satu hantaran di laman Threads, Farah Dhiya membuka cerita silam yang disimpan bertahun-tahun lamanya, mengakui dirinya pernah diconteng namanya di meja makmal, dinding tandas sekolah dan menerima surat ugutan dari pelajar lain.

“Saya masuk sekolah pada pertengahan tahun tingkatan satu. Sejak itu saya jadi sasaran sekumpulan pelajar perempuan yang menggelarkan diri mereka kononnya ‘spice girls’. 

"Mereka buli saya hanya sebab saya budak baru. Nama saya diconteng merata-rata dari meja makmal ke dinding tandas, sampai cikgu tanya kenapa nama saya ada di mana-mana,” katanya.

BACA LAGI: Luah rasa terbuku ada caranya, suami, isteri bahagia bukan tak pernah bergaduh, tapi pilih bincang secara matang

BACA LAGI: Jambatan runtuh, bidan redah arus deras sungai demi bantu pesakit tibi terperangkap banjir

Farah turut mendedahkan dirinya pernah dilempar batu semasa waktu rehat, dimaki hamun dengan kata-kata kesat dan menerima surat ugutan yang ditinggalkan di atas mejanya.

“Bayangkan, baru umur 13 tahun tapi dah pandai busuk hati. Saya senyap je, sebab saya fikir saya tak buat salah dengan sesiapa. Tapi bila masuk tingkatan dua, saya dah tak tahan,” katanya. 

Selama hampir setahun, Farah hanya mampu menelan segala hinaan dan perlakuan kasar tanpa melawan. 

Namun, segalanya berubah apabila memasuki Tingkatan 2 di mana dia memilih untuk tidak lagi tunduk, sebaliknya bangkit mempertahankan maruah diri.

"Masa tu saya dah nekad, tunggu je masa mereka sentuh saya dulu. Dan akhirnya, bila salah seorang tarik saya, saya terus balas. Saya pukul dan tendang balik. 

"Seorang daripada mereka tergolek, seorang lagi cuba tikam tangan saya dengan pen, nasib tak teruk. Mereka tak sangka saya boleh lawan," katanya. 

Insiden tersebut menyebabkan nama Farah terus menjadi buah mulut di sekolah.

Malah, katanya, selepas kejadian itu, kumpulan-kumpulan lain yang turut pernah membuli Farah mula menjauh dan ada yang datang meminta maaf.

“Ada yang datang nak berkawan balik. Ada yang minta saya belasah orang lain pula kononnya. Tapi saya beritahu mereka, saya bukan kaki gaduh, saya cuma pertahankan diri," katanya. 

Namun begitu, tindakan Farah membela diri mengundang tindakan disiplin apabila dia dan kumpulan pembuli tersebut dipanggil menghadap guru besar dan hampir digantung sekolah.

Farah turut menitipkan pesanan kepada para pelajar yang gemar membuli agar menghentikan perbuatan sia-sia itu, mengingatkan bahawa ke sekolah adalah untuk menimba ilmu, bukan mencetuskan permusuhan.

“Mak ayah hantar kita ke sekolah untuk belajar, bukan nak tengok anak jadi gangster. Kita hidup bukan sorang diri—jangan sebab perangai kita yang tak elok, keluarga yang tanggung malu. Jadilah pelajar yang buat mak ayah bangga," katanya. 

“Biarlah kita tak pandai dalam pelajaran sekalipun, tapi jangan sesekali jadi manusia yang tak beradab. Nakal tu biasa, tapi jangan sampai aniaya hidup orang lain,” nasihatnya.

Hantaran Farah itu mendapat perhatian ramai warganet, termasuk beberapa individu lain yang turut berkongsi pengalaman dibuli sewaktu zaman sekolah.

Seorang pengguna, Fateen Hamdan menulis bahawa dirinya turut pernah dipulaukan kerana berumur setahun lebih muda berbanding rakan sekelas. 

Kasutnya juga pernah disorok dan diletakkan di tempat tinggi kerana dirinya bertubuh rendah.

Seorang lagi pengguna, Shaaa j pula menceritakan kisah dibuli secara fizikal di asrama hanya kerana menjadi adik angkat kepada pelajar lelaki senior yang dikenali ramai.

“Saya pernah kena tarik ramai-ramai dan muka saya ditonyoh dengan rumput. Sampai terpaksa menyorok bawah katil dalam loker. Akhirnya saya berpura-pura sakit dan minta pindah sekolah harian,” katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram