[VIDEO] Gelombang gaya hidup minimalis ekstrem di Jepun, kurang 250 barang di dalam rumah


  • Hias
  • Sabtu, 26 Jul 2025

Segala-galanya teratur dan berfungsi, inilah gaya hidup minimalis sebenar di Jepun.

DI tengah hiruk-pikuk kehidupan moden Jepun yang semakin menekan, muncul satu gelombang gaya hidup berbeza iaitu minimalisme.

Jepun sinonim dengan teknologi, inovasi dan budaya kerja yang sibuk, semakin ramai penduduknya memilih gaya hidup minimalis supaya hidup lebih tenang.

Langkah itu bukan sekadar trend, tetapi respons terhadap tekanan hidup, kekangan ruang, serta usaha mencari ketenangan dalam dunia yang penuh dengan gangguan material.

BACA LAGI: Bukan rekaan tapi realiti terkini di Gaza, ibu bapa tiada pilihan, terpaksa isi perut anak dengan makanan haiwan demi terus hidup

BACA LAGI: Sah atau tidak wuduk jika 'sunscreen', kirm pelembap masih melekat pada wajah? Ini penjelasan Ustaz Wadi Annuar

Baru-baru ini, saluran Tokyolens memuat naik satu video menarik di Facebook yang memberi gambaran secara dekat tentang gaya hidup itu.

Video tersebut menampilkan seorang lelaki Jepun hanya memiliki kurang daripada 250 barang di seluruh rumahnya.

Gaya hidupnya bukan sahaja luar biasa, tetapi juga mengundang rasa kagum kerana setiap barang yang dimiliki dipilih dengan teliti berdasarkan fungsi sebenar.

Ruang rumahnya kelihatan kosong, kemas dan lapang kerana langsung tiada hiasan berlebihan ataupun perabot besar.

"Ini bilik mandi," katanya dengan nada santai sambil menunjukkan ruang kecil yang hampir tiada apa-apa.

Segalanya disusun dengan praktikal termasuk beg 'ekobag' dilekatkan di dinding menggunakan magnet, memudahkan penggunaan tanpa perlu ruang simpanan tambahan.

Lebih menarik, beliau mencipta pakaian dan kasut sendiri.

Salah satu baju ciptaannya diberi nama 'Backless', sejenis baju tanpa belakang yang mengurangkan fabrik dan memudahkan pergerakan.

Kasutnya pula mempunyai ruang simpanan tersembunyi untuk kabel, memperlihatkan betapa pentingnya penggunaan ruang secara optimum dalam hidup minimalisnya.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga membina komputer dan papan kekunci sendiri dan menggunakan projektor mini untuk menonton rancangan kegemarannya.

Semuanya dilaksanakan dalam satu ruang kecil yang disusun rapi dan strategik.

Malah, turut menghasilkan satu kabin peribadi di dalam rumahnya yang berfungsi sebagai ruang permainan dan bacaan buku.

Ia menunjukkan bahawa minimalisme tidak bermaksud menolak hiburan, tetapi mengamalkannya secara lebih bijak.

Mengapa gaya hidup ini semakin diminati di Jepun?

1. Ruang rumah terhad

Kediaman di bandar besar seperti Tokyo dan Osaka biasanya kecil dan mahal. Dengan ruang sangat terhad, tidak masuk akal untuk memenuhi rumah dengan barang yang tidak digunakan.

Oleh itu, ramai penduduk Jepun mula melihat keperluan untuk hidup dengan hanya barang yang benar-benar diperlukan.

2. Falsafah Dan-Sha-Ri

Konsep Dan-Sha-Ri dalam budaya Jepun menekankan prinsip ‘membuang, menolak dan melepaskan’ iaitu membuang barang tidak digunakan, menolak pembelian yang tidak perlu, dan melepaskan ikatan emosi terhadap barang.

Gaya hidup itu membawa ketenangan dan kesedaran diri.

3. Reaksi terhadap tekanan hidup

Di negara yang terkenal dengan budaya kerja ‘karōshi’ (kematian akibat kerja berlebihan), ramai individu mencari cara untuk mendapatkan semula keseimbangan hidup.

Minimalisme memberi peluang untuk melambatkan rentak hidup dan fokus kepada apa yang penting pada diri sendiri.

4. Kurang barang, kurang beban

Memiliki sedikit barang bermakna kurang masa mengemas, kurang wang dibelanjakan dan lebih masa untuk diri sendiri.

Bagi mereka yang pernah melalui bencana alam seperti gempa bumi atau banjir, hidup dengan sedikit barang bermakna lebih mudah bergerak dan kurang kerugian.

5. Gerakan antikonsumerisme

Sejak kejatuhan ekonomi Jepun pada awal 1990-an, ramai rakyatnya mula sedar bahawa kebendaan tidak menjamin kebahagiaan.

Gerakan minimalisme itu mendapat inspirasi daripada tokoh seperti Marie Kondo dan Fumio Sasaki, yang menekankan bahawa kebahagiaan bermula apabila kita melepaskan apa yang tidak memberi makna.

Lelaki dalam video Tokyolens itu hanyalah satu contoh daripada ramai rakyat Jepun yang telah menyedari bahawa hidup bukan tentang memiliki lebih, tetapi tentang memilih keperluan.

Gaya hidup minimalis mereka bukan semata-mata untuk menjimatkan ruang atau wang, tetapi satu bentuk penemuan diri supaya hidup lebih ringan dan damai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram