[VIDEO] Oprah Winfrey buka laluan persendirian, bantu penduduk Hawaii berlindung ancaman tsunami


  • Benua
  • Rabu, 30 Jul 2025

Laluan kawasan peribadi Oprah (warna biru) dikatakan dapat memudahkan pergerakan orang ramai. — Agensi

PENGACARA terkenal, Oprah Winfrey menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengatakan beliau enggan membuka laluan peribadinya ketika ribuan penduduk Hawaii berpindah ke kawasan tinggi susulan amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi kuat melanda perairan timur Rusia.

Menurut kenyataan yang dikongsikan kepada Newsweek, jurucakap Winfrey menjelaskan bahawa sebaik sahaja mereka menerima amaran tsunami, pihaknya segera berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk memastikan jalan tersebut dibuka kepada orang awam.

“Sebarang dakwaan yang mengatakan sebaliknya adalah tidak benar,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sampai 24 jam gencatan senjata, Thailand tuduh Kemboja langgar perjanjian

BACA LAGI: Kes buli 2023: Ibu bapa diminta segera lapor JPN Sabah

Gempa bumi bawah laut bermagnitud 8.8 skala Richter yang berlaku pagi Rabu di pesisir pantai di timur Rusia mencetuskan amaran tsunami di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, China dan Filipina.

Gelombang pertama dilaporkan mula melanda Hawaii, Kepulauan Kuril serta pulau Hokkaido di Jepun, dengan kesemua lapan pulau utama Hawaii kini berada di bawah amaran tsunami.

Oprah Winfrey yang telah menetap di Hawaii selama lebih 15 tahun memiliki lebih 2,000 ekar tanah di Pulau Maui, termasuk sebuah ladang yang terletak di lereng gunung berapi dorman Haleakala.

Beliau juga mempunyai jalan peribadi yang pernah dibuka kepada umum dalam situasi kecemasan seperti kebakaran hutan pada tahun 2019 dan 2023.

Namun begitu, beberapa hantaran di media sosial mendakwa Winfrey enggan membuka laluan tersebut ketika penduduk Hawaii sedang berpusu-pusu meninggalkan kawasan pantai untuk menyelamatkan diri.

Jurucakap Winfrey sekali lagi menafikan dakwaan itu, sambil memaklumkan bahawa jalan tersebut kini dibuka dan dikawal selia oleh pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran laluan keluar.

“Pihak berkuasa tempatan berada di lokasi dan sedang membantu melancarkan pergerakan kenderaan, dengan had 50 buah pada satu-satu masa demi keselamatan semua. Jalan itu akan terus dibuka selagi diperlukan,” jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram