Tak tolak peluang tambah pemain, Gergasi Merah letak KPI sama di Liga Super, lepasi knock out ACL2-Piala Shopee


  • Podium
  • Rabu, 30 Jul 2025

Selangor FC perlu menggandakan usaha menjelang Piala Sumbangsih 2025 menentang Johor Darul Ta'zim susulan prestasi kurang memberangsangkan dalam aksi pramusim. — Facebook/Selangorfc

PENGURUSAN Selangor FC tampil optimis pasukan itu mampu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan bagi musim 2025, sekali gus membuka lembaran baharu buat gergasi bola sepak tanah air itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, semua pihak dalam kelab akan terus bekerja keras serta kekal konsisten bagi memastikan Selangor terus melakar pencapaian lebih baik berbanding musim lalu.

“Bagi saya, kita perlu kekal realistik dan akui bahawa saingan dalam liga kita sangat kompetitif.

"Dalam dua musim lepas, kita berjaya merapatkan jurang dengan juara bertahan (Johor Darul Ta’zim). Jadi, momentum itu perlu diteruskan.

BACA LAGI: 'Bukan kekuatan sebenar', Selangor terus yakini Kinoshi, berani tampilkan bakat lokal harungi aksi pramusim

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas hadiahkan penalti, bekas bek Pahang macam sengaja pijak kepala lawan dalam aksi liga amatur

Selangor FC terpaksa akur dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Asia Warriors FC. — Facebook/Selangorfc

“Sasaran kita kekal sama, dua terbaik dalam Liga Super, layak ke final Piala Malaysia dan Piala FA. Selain itu, kita juga mahu mara ke peringkat kalah mati dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) serta Kejuaraan Piala Shopee,” katanya.

Dr. Johan berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Selangor FC dan Provident Fiduciaries Berhad (PFB) yang diadakan di Bin Zayed International, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur pada Rabu.

Jelas Dr Johan lagi, keputusan yang baik hanya dapat dicapai sekiranya setiap pemain memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap perlawanan.

“Kalau pun di atas kertas kita nampak bagus, tapi kalau pemain tidak beri 100 peratus di atas padang, susah untuk capai apa-apa. Kita kena faham, bola itu bulat. Menang minggu ini, belum tentu minggu depan pun kita menang. 

“Setiap perlawanan perlu diambil serius. Kita bukan hanya main untuk diri sendiri, tetapi untuk penyokong, penaja dan kelab. Jadi, pemain perlu turun ke padang dengan semangat memberi yang terbaik dalam setiap aksi,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa Ketua Jurulatih, Katsuhito Kinoshi berpuas hati dengan kekuatan skuad sedia ada.

Sebahagian Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Provident Fiduciaries Berhad dan Selangor FC yang berlangsung di Bin Zayed International, TRX, Kuala Lumpur.

Jelasnya, jurulatih dari Jepun itu yakin dengan keseimbangan skuad, namun masih terbuka untuk membuat penilaian lanjut memandangkan jendela perpindahan masih dibuka hingga 31 Ogos.

“Buat masa ini belum ada keperluan untuk menambah pemain baharu, tapi kita akan terus menilai. Kita perlu bersedia jika ada keperluan mendesak atau peluang yang tidak dijangka menjelang tarikh tutup ‘transfer window’,” ujarnya.

Di samping itu, Dr Johan turut menegaskan bahawa budaya kerja profesional serta komitmen tinggi terus menjadi prinsip utama yang ditanam dalam setiap peringkat organisasi Selangor FC.

“Di Selangor FC, kita tekankan nilai profesionalisme dalam setiap peranan pengurusan, kejurulatihan dan pemain. Tetapi paling penting, segala usaha itu perlu diterjemahkan di atas padang,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Merah Kuning masih kekal sebagai antara pasukan paling berprestij dalam sejarah bola sepak tanah air, namun ketandusan trofi utama sejak sedekad lalu.

Pada musim lalu, juara Piala Malaysia 33 kali itu hanya berpuas hati dengan gelaran 'kelas kedua' apabila sekadar menjuarai Piala Cabaran selepas menewaskan PDRM FC di pentas final.

Kali terakhir Selangor menjulang trofi Liga Super adalah pada musim 2010, manakala kejuaraan Piala Malaysia terakhir diraih pada 2015 dan Piala FA pula sejak edisi 2009. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram