
KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) membawa masuk dua pemain import bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 tidak seharusnya dilihat sebagai satu 'pengkhianatan' terhadap misi asal kelab untuk membangunkan bakat tempatan.
Sebaliknya, perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh pasukan secara berstrategi.
Pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley berpendapat, keputusan untuk menyerap tenaga luar seperti pemain dari Ghana, Yakubu Abubakar dan Adam Azeez Arisekola adalah tindakan bersifat taktikal untuk meningkatkan daya saing pasukan tanpa menjejaskan hala tuju asal kelab.
“Sehingga kini, Kedah hanya memasukkan dua pemain import. Selebihnya diisi pemain tempatan. Majoritinya masih muda," katanya kepada Majoriti.
KFA mengumumkan pemain tengah berpengalaman dari Ghana, Yakubu Abubakar sebagai pemain import pertama bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026. — Facebook/KFA
Menurut beliau, kehadiran dua import itu dilihat sekadar 'rencah tambahan' dalam usaha Helang Merah untuk tampil lebih kompetitif, tanpa mengetepikan potensi dan pembangunan ‘ubi muda’ yang menjadi tulang belakang skuad.
"Pandangan saya, ianya lebih kepada Kedah yang mungkin ingin bersifat lebih kompetitif dengan menambah sedikit rencah menerusi dua tenaga import," ujarnya.
Mengulas sejauh mana tindakan berkenaan sejajar dengan komitmen Kedah FA untuk menyediakan platform stabil buat pemain muda, Afiq menegaskan bahawa perkara itu akan lebih jelas apabila saingan bermula.
“Kita perlu lihat bagaimana ketua jurulatih Victor Andrag dan pasukannya menguruskan pemain. Jika pemain muda terus diberi peluang, maka keseimbangan itu tercapai," tambahnya.
Penyerang muda dari Nigeria, Adam Azeez Arisekola merupakan rekrut kedua skuad Helang Merah. — Facebook/KFA
Ditanya sama ada pengambilan import boleh memberi kesan negatif kepada semangat pemain tempatan, Afiq berpandangan sebaliknya.
“Tidak. Dengan hanya dua import, pemain muda masih punya ruang luas untuk berkembang. Malah, ini boleh jadi pembelajaran berguna buat mereka di atas padang.
"Kalau mereka bijak, gunakan kelebihan itu sebagai pemangkin semangat untuk bersaing merebut kesebelasan utama,” katanya.
Kedah FA sebelum ini menegaskan komitmennya untuk membentuk pasukan berteraskan pemain tempatan, khususnya dalam memberi lebih banyak peluang kepada bakat muda menerusi saingan Liga AL Semi Pro, selaras dengan pelan pembangunan bola sepak jangka panjang negeri.
Namun, dalam perkembangan terbaharu, Kedah FA mengumumkan kehadiran dua pemain import bagi memperkukuh skuad menghadapi cabara musim 2025/2026.
Pemain tengah berpengalaman dari Ghana, Yakubu Abu Bakar dan penyerang muda Nigeria, Adam Azzez Arisekola sah menyertai pasukan Utara tanah air itu bagi memperkuatkan jentera pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram