'Bukan kekuatan sebenar', Selangor terus yakini Kinoshi, berani tampilkan bakat lokal harungi aksi pramusim


  • Podium
  • Rabu, 30 Jul 2025

Sebahagian Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Provident Fiduciaries Berhad dan Selangor FC yang berlangsung di Bin Zayed International, TRX, Kuala Lumpur.

WALAUPUN keputusan aksi pramusim Selangor FC kurang memberangsangkan dan mencetuskan kegusaran dalam kalangan penyokong Gergasi Merah, pihak pengurusan kelab kekal tenang dan terus memberikan kepercayaan kepada Ketua Jurulatih, Katsuhito Kinoshi.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan bahawa segala penilaian teknikal pramusim adalah di bawah seliaan Jawatankuasa Teknikal dan mereka masih menaruh kepercayaan penuh terhadap pendekatan yang dibawa jurulatih berpengalaman dari Jepun itu.

"Setakat ini, segala keputusan dan penilaian dari sudut teknikal berada di bawah tanggungjawab Jawatankuasa Teknikal dan saya difahamkan mereka masih yakin serta percaya dengan kemampuan coach Kinoshi.

BACA LAGI: 'Import hanya pelengkap rasa, kudrat utama Kedah masih ubi muda'

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas hadiahkan penalti, bekas bek Pahang macam sengaja pijak kepala lawan dalam aksi liga amatur

“Kalau kita lihat secara menyeluruh, banyak pemain utama tidak dapat bersama pasukan sepanjang pramusim termasuk beberapa pemain import yang belum menyertai skuad serta beberapa pemain muda yang ketika itu bersama Selangor Bawah-23,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Provident Fiduciaries Berhad (PFB) dan Selangor FC yang berlangsung di Bin Zayed International, TRX, Kuala Lumpur pada Rabu.

Kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu menjalinkan kerjasama dengan syarikat tersebut bagi menyediakan pengalaman berharga buat peminat yang hadir ke Stadium MBPJ, Selangor.

Selangor FC menjalin kerjasama strategik bersama Provident Fiduciaries Berhad.

Tambahnya lagi, antara halangan utama pramusim ialah kecederaan dan masalah kesihatan yang menimpa pemain utama.

Dalam aksi menentang Asia Warriors FC contohnya, dua tonggak tengah utama, Nooa Laine dan Noor Al Rawabdeh terpaksa diketepikan akibat masalah kecederaan. 

“Disebabkan faktor-faktor ini, keputusan perlawanan yang dilihat dari luar sebenarnya tidak menggambarkan kekuatan sebenar pasukan. Bahkan dari segi kesebelasan utama pun, coach Kinoshi masih dalam fasa mencuba dan memberi peluang seimbang kepada semua pemain,” tambah beliau.

Menurut Dr. Johan, apa yang lebih menarik perhatian adalah keberanian Kinoshi mengetengahkan ramai pemain muda sepanjang kempen pramusim, satu pendekatan yang berani. 

“Beliau membawa enam hingga tujuh pemain muda untuk diberi minit permainan, termasuk ketika bertemu Asia Warriors. Ia satu risiko besar, lebih-lebih lagi pasukan ini akan bertanding di pentas Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2). Tapi kita lihat ini sebagai satu langkah progresif,” ujarnya. 

Meskipun cabaran awal sukar, pihak pengurusan kekal percaya bahawa tempoh dua minggu terakhir menjelang sepak mula musim 2025/2026 akan digunakan sebaiknya oleh barisan kejurulatihan.

“Kami percaya coach Kinoshi ada perancangannya sendiri. Dua minggu ini sangat penting untuk beliau rumuskan kesebelasan terbaik. Insya-ALLAH, kami yakin Selangor akan bersedia sepenuhnya menjelang aksi sulung nanti,” katanya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram