
SEBUAH rakaman video yang mengejutkan tular di media sosial apabila seorang wartawan televisyen di Brazil dilihat secara tidak sengaja tertendang mayat seorang murid perempuan yang dilaporkan hilang, ketika sedang membuat liputan langsung di lokasi pencarian.
Dalam insiden yang berlaku di Sungai Mearim, Bacabal, Brazil, wartawan, Lenildo Frazao sedang membuat demonstrasi kedalaman air di kawasan yang mana mangsa yang dikenali sebagai Raissa kali terakhir dilihat.
Dalam rakaman itu, Frazao dilihat sedang meredah sungai sebelum tiba-tiba tergamam dan melangkah ke hadapan dengan wajah cemas apabila terasa seolah-olah sesuatu menyentuh kakinya. Air sungai ketika itu sudah mencecah paras dadanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa samseng 4x4 enggan panjangkan kes, polis Klang tetap cari suspek
“Saya rasa ada sesuatu di dasar air, saya tak boleh teruskan, saya takut, macam tangan… adakah itu dia? Tapi mungkin juga ikan, saya tak pasti,” katanya kepada kru kamera dalam nada panik.
Keesokan paginya, pada 30 Jun, pasukan bomba dengan bantuan penyelam meneruskan operasi pencarian dan akhirnya menemui mayat Rasssa tepat di lokasi tempat Frazao berdiri sehari sebelumnya.
Mangsa disahkan lemas ketika mandi bersama rakan-rakan. Dalam laporannya, Frazao turut menyatakan bahawa arus sungai sangat deras dan dasar sungai tidak rata dengan beberapa ‘lubang’ yang boleh membahayakan.
Hasil bedah siasat mengesahkan tiada unsur jenayah atau kecederaan fizikal dan kematian disahkan akibat lemas secara tidak sengaja.
Raissa merupakan pelajar sebuah sekolah rendah di kawasan itu. Sementara itu, Frazao belum mengeluarkan sebarang kenyataan selepas video berkenaan menjadi tular.
Stesen penyiarannya dalam kenyataan media menjelaskan bahawa beliau menjalankan liputan mengikut prosedur liputan kawasan berisiko tinggi dengan sokongan pihak berkuasa tempatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram