
TINDAKAN seorang guru lelaki menumbuk cermin kelas selepas dikatakan tidak dapat menerima teguran mengenai kehadirannya yang tidak konsisten kini tular di media sosial.
Kejadian itu berlaku di Sekolah Kebangsaan Negeri 3 Kaidipang, Bolaang Mongondow Utara, Indonesia pada Sabtu ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik oleh akaun TikTok, @soloposofficial, kelihatan suasana tegang antara beberapa guru di dalam sebuah bilik darjah, sebelum guru lelaki terbabit bertindak di luar kawalan dengan menumbuk cermin kelas hingga pecah.
BACA LAGI: [VIDEO] Perahu ada kesan gigitan, nelayan ditemukan maut disyaki dibaham buaya di Sandakan
Insiden dipercayai tercetus selepas guru wanita yang bertugas mencatat kehadiran menegur guru terbabit kerana kekerapan tidak hadir ke sekolah tanpa rekod sah dalam sistem kehadiran rasmi.
Namun begitu, teguran itu tidak diterima baik oleh guru lelaki berkenaan, yang kemudian bertindak secara agresif dan merosakkan fasiliti sekolah tanpa memberikan sebarang penjelasan lanjut.
Beberapa guru lain yang berada di lokasi dilihat cuba menenangkan keadaan dan meleraikan pertelingkahan, manakala pelajar yang berada berdekatan kelihatan panik dan terganggu dengan kejadian tersebut.
Setakat ini, pihak sekolah mahupun Jabatan Pendidikan Daerah Bolaang Mongondow Utara (Bolmut) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden yang telah mencemarkan imej institusi pendidikan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram