
TENTERA Nasional Indonesia menyatakan pihak mereka tidak akan menerima rayuan bekas anggota marin, Satria Arta Kumbara yang sebelum ini memilih menjadi anggota tentera sukarela Rusia.
Jurucakap Tentera Laut I Made Wira Hady berkata, Sarjan Kedua Satria itu sudah digantung tugas secara serta-merta pada April 2023 selepas sebuah tribunal ketenteraan memberikannya hukuman atas kesalahan mengabaikan tugas.
"Satria tidak lagi terikat dengan badan ketenteraan Indonesia," kata Wira Hady pada Isnin iaitu beberapa hari selepas sebuah video memaparkan Satria tular di media sosial.
BACA LAGI: [VIDEO] Jeneral tentera Rusia maut dalam serangan bom kereta depan kawasan rumah
Dalam rakaman pendek yang dikongsikan baru-baru ini, anggota tersebut mengenakan uniform tentera Rusia memohon maaf kepada Indonesia atas tindakannya menyertai misi di negara Eropah itu.
Jelasnya, keputusan tersebut diambil kerana ganjaran lumayan ditawarkan kepada mana-mana individu berminat untuk menyertai badan ketenteraan Rusia yang sedang mengalami konflik dengan Ukraine.
Bagaimanapun, rayuan yang kini tular di Indonesia itu tidak dilayani pihak kententeraan mahupun kerajaan Indonesia selepas Satria dilaporkan tidak hadir tanpa cuti (AWOL) selama kira-kira tahun bermula Jun 2022.
Atas kesalahan tersebut, anggota tersebut dikenakan tindakan berdasarkan keputusan dibuat Tentera Jakarta II-08 yang menyatakan dia tidak boleh diserap kembali ke dalam unit dalam apa jua keadaan.
Satria dahulunya berada dalam badan ketenteraan Indonesia sebelum memilih untuk sertai misi di Rusia. — Agensi
Dalam rakaman sama, Satria turut mengatakan dia tidak menyedari bahawa kontrak ditandatangani dengan Kementerian Pertahanan Rusia boleh mengakibatkan kehilangan kewarganegaraan Indonesia.
"Saya tidak tahu bahawa menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan Rusia akan menyebabkan saya kehilangan kewarganegaraan Indonesia," kata Satria dalam video itu.
Dia juga merayu secara terus kepada Menteri Luar Sugiono, Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, dan Presiden Prabowo Subianto untuk membenarkannya kembali.
Ini kerana dia menyedari hasil diperoleh daripada keputusan menyertai pasukan Rusia adalah tidak berbaloi, lebih-lebih lagi apabila hilang kewarganegaraan.
“Hanya Presiden Prabowo boleh menamatkan kontrak saya sekarang. Saya tidak pernah mahu kehilangan kewarganegaraan saya kerana ia bermakna segala-galanya bagi saya," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram