
TIDAK mahu isu bau badan menjadi bahan sindiran atau memalukan sesiapa, seorang wanita di Indonesia mengambil langkah bijak membelikan deodoran buat semua rakan sekelasnya.
Menerusi video tular di TikTok, wanita yang juga bendahari kelas itu dilihat memborong sejumlah deodoran sebelum mengagihkannya secara adil kepada setiap pelajar.
Difahamkan, tindakan itu dilakukan selepas timbul rasa tidak selesa dalam kalangan pelajar berkaitan bau badan, namun wanita berkenaan memilih untuk menyelesaikan masalah tanpa mengaibkan sesiapa.
“Inisiatif ini dilakukan supaya semua pelajar dapat dan tidak timbul rasa tersinggung dalam kalangan sesiapa,” tulis Rzkertisa16.
@rzkertisa16 You Must Have Smiled - Dj Brama Fvnky
Tindakan pelajar itu mendapat pujian ramai menyifatkan ia sebagai pendekatan matang dan berhemah dalam menangani isu peribadi yang sering dianggap sensitif dalam kalangan pelajar dan remaja.
"Luar biasa ideamu perempuan cantik," tulis Oriza Sartika.
"Bijak sekali," tulis Alfaal8705.
Menurut laman web kesihatan, Hello Doktor, bau badan berlaku apabila peluh bercampur dengan bakteria pada permukaan kulit.
Peluh secara semula jadi tidak berbau, namun apabila ia terurai oleh bakteria menjadi asid, ia akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.
Deodoran berfungsi membunuh bakteria penyebab bau dan biasanya mengandungi bahan antibakteria, pelembap, pengemulsi serta wangian bagi mengekalkan kesegaran tubuh.
Deodoran vs antipeluh
Masih ramai pengguna yang keliru antara deodoran dan antipeluh (antiperspirant).
Menurut portal Sweat Help, deodoran berfungsi untuk mengawal bau badan, manakala antipeluh mengandungi bahan seperti aluminium yang menyekat liang peluh bagi mengurangkan pengeluarannya.
Kini, terdapat juga produk gabungan dua dalam satu yang mampu kawal bau dan peluh serentak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram