[VIDEO] Angka korban cecah 27, majoriti pelajar selepas pesawat tentera Bangladesh terhempas di sekolah ketika latihan


  • Benua
  • Selasa, 22 Jul 2025

Pesawat ketenteraan itu terhempas akibat masalah teknikal dengan juruterbang turut terkorban. — Agensi

SERAMAI 27 orang terkorban selepas sebuah pesawat milik tentera Bangladesh terhempas di sebuah sekolah pada Isnin di ibu negara tersebut ketika sedang melakukan latihan ketenteraan.

Pihak berkuasa melaporkan mereka yang maut dalam nahas itu terdiri daripada seorang juruterbang serta 26 orang awam dengan rata-rata daripadanya adalah pelajar di sekolah itu.

Insiden itu turut menyaksikan seramai 171 mangsa lain mengalami kelecuran teruk dan sudah dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter, ambulans serta kenderaan orang awam yang tidak putus-putus membantu.

BACA LAGI: [VIDEO] Bebola api meletus lepas pesawat kecil terhempas, lapangan terbang di London terpaksa ditutup sementara

BACA LAGI: [VIDEO] Masalah komunikasi antara 2 juruterbang punca awal pesawat terhempas korbankan 260 nyawa

Laporan awal menyatakan 20 mangsa terkorban di lokasi kejadian sementara tujuh yang lain meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan dengan pihak hospital menyatakan lebih 24 orang lain berada dalam keadaan kritikal.

Doktor mengesahkan bahawa kebanyakan mangsa parah berusia antara 9 hingga 14 tahun dengan keadaan di hospital menjadi semakin tegang apabila keluarga mangsa datang untuk mendapatkan kepastian mengenai insiden itu.

Setakat ini, 20 mayat sudah diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian, namun ada daripadanya perlu menjalani ujian DNA kerana identitinya tidak dapat dikenal pasti.

Pesawat F-7 BGI yang dihasilkan di China itu difahamkan mengalami masalah teknikal tidak lama setelah berlepas dengan juruterbang sudah berusaha melencongkannya daripada terhempas di kawasan yang padat dengan penduduk.

Bagaimanapun, tindakan tersebut tidak berjaya apabila ia merempuh sebuah bangunan dua tingkat di Milestone School and College.

Pihak ketenteraan Bangladesh juga belum mengeluarkan sebarang pengesahan sama ada juruterbang, Leftenan Penerbangan Toukir Islam maut di dalam pesawat atau sempat melentingkan diri daripada pesawat sebelum rempuhan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram