
TARIF import baharu sebanyak 50 peratus akan dikenakan terhadap bahan tembaga yang dibawa masuk ke Amerika Syarikat (AS), kata Presiden Donald Trump.
Dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa, Trump berkata, pihaknya masih merancang untuk mengenakan tarif import terhadap industri terpilih seperti perubatan, semikonduktor dan besi.
"Kita akan mengenakan tarif 50 peratus terhadap (import) tembaga," katanya tanpa menjelaskan tarikh tarif baharu itu akan dikuatkuasakan.
Menurut laporan CNBC, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick berkata, jabatannya sudah selesai menjalani kajian terhadap tembaga dan beliau menjangkakan tarif baharu itu akan berkuat kuasa pada akhir Julai atau 1 Ogos.
Trump juga berkata, pelaksanaan tarif baharu setinggi 200 peratus mungkin akan dikenakan terhadap produk import perubatan tetapi langkah itu tidak akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memberi ruang syarikat terlibat berpindah dan beroperasi di AS.
Pada Selasa, Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.
Trump berkata langkah itu perlu diambil untuk 'melindungi industri tempatan AS daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.
"Kita tidak boleh lagi membiarkan negara lain mengambil kesempatan terhadap kita. Mulai 1 Ogos, semua import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus," katanya dalam satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikongsi dalam laman Truth Social, milik Trump Media & Technology Group.
Antara negara yang akan menghadapi tarif 25 peratus ialah Jepun, Korea Selatan, Tunisia, Kazakhstan manakala kadar lebih tinggi akan dikenakan terhadap negara lain: Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus); Serbia dan Bangladesh (35 peratus); Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta sehingga 40 peratus untuk Laos dan Myanmar. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram