
KISAH seorang pekerja warga Bangladesh yang sanggup menerima pemotongan gaji demi menunaikan solat lima waktu berjemaah di surau mencuri perhatian ramai.
Malah sikapnya yang lebih memilih untuk menunaikan ibadah berbanding gaji itu seharusnya dijadikan contoh teladan terbaik buat umat Islam.
Perkongsian yang dimuat naik pengguna media sosial, Zariff Southpaw di laman Threads miliknya, memaparkan nilai keimanan dan pengorbanan luar biasa lelaki yang digelarnya sebagai 'Bangla Green Flag'.
BACA LAGI: [VIDEO] Belum tiba ajal, ‘rider’ tercampak ke laut diselamatkan nelayan di Jambatan Pulau Pinang
BACA LAGI: [VIDEO] Bekas kanibal Sumanto muncul semula, kini aktif sebagai pencipta kandungan TikTok
Menurut Zariff, lelaki warga asing yang tidak didedahkan namanya tersebut tidak pernah meninggalkan solat lima waktu di surau, malah turut menjaga solat sunat qobliyah dan ba’diyah dengan penuh istiqamah.
"Dia kata boss potong gaji RM70 kalau dia pergi solat Jumaat. Tapi dia tak kisah, janji dapat solat. Katanya, dunia bukan matlamat, tapi akhirat yang lebih utama," tulis Zariff pada Ahad.
Tambahnya lagi, sebanyak 80 peratus daripada gaji bulanan lelaki itu dihantar pulang ke kampung halaman untuk menyara keluarganya, manakala baki 20 peratus sahaja digunakan untuk keperluan hidup di Malaysia.
Zariff turut menyifatkan lelaki itu sebagai insan yang sentiasa bercakap perkara baik dan menyentuh soal agama setiap kali mereka bertemu, tanpa berbicara hal-hal kosong atau melalaikan.
"Di dunia ini dia hanyalah orang biasa, tetapi di akhirat nanti, Insya-ALLAH darjatnya luar biasa," katanya.
Perkongsian tersebut mendapat reaksi positif daripada warga maya yang rata-rata tersentuh dengan keikhlasan dan kesungguhan lelaki itu dalam mengutamakan tanggungjawab kepada ALLAH SWT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram