
SEBUAH lagi insiden melibatkan kapal terbang sekali lagi menggemparkan media antarabangsa apabila pesawat kecil dilaporkan terhempas tidak lama setelah berlepas dari Lapangan Terbang Southend, London, England pada Ahad.
Dalam rakaman dikongsikan saksi di lokasi kejadian, kelihatan kepulan asap hitam memenuhi ruang udara sehingga memaksa operasi di lapangan terbang berkenaan ditangguhkan.
Pesawat dengan panjang mencecah 12 meter tersebut adalah milik Zeusch Aviation berpangkalan di Belanda dengan kod pesawat SUZ1 yang dijadualkan berlepas ke Lapangan Terbang Lelystad, Belanda.
BACA LAGI: [VIDEO] Masalah komunikasi antara 2 juruterbang punca awal pesawat terhempas korbankan 260 nyawa
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung jumlah mangsa terkorban dengan siasatan turut dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.
Zeusch Aviation akan turut membantu siasatan dengan mereka hanya menzahirkan rasa simpati terhadap ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas berkenaan.
Seorang saksi di lokasi, John Johnson berkata, dia sekeluarga menyaksikan letusan bebola api yang tinggi selepas menyedari pesawat tersebut terhempas dalam keadaan menjunam.
"Kami sempat bertentang mata dan melambai juruterbang sebelum kapal terbang itu berlepas. Ia kemudiannya pusing di atas landasan untuk menuju ke titik perlepasan.
Kapal terbang kecil milik Zeusch Aviation yang difahamkan terhempas dalam kejadian tersebut.
"Bagaimanapun, selepas kira-kira empat saat ia berlepas, pesawat terbabit belok ke kiri. Saya mengatakan kepada isteri bahawa hal sebegitu lain daripada kebiasaan. Tidak lama selepas itu, kami melihat bebola api cukup besar," katanya.
Kejadian berkenaan turut disaksikan ratusan individu lain di Lapangan Terbang Southend dengan masing-masing tidak dapat melakukan apa-apa bagi membantu mangsa terlibat.
Polis Essex berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Nahas Udara bagi mengumpul sebarang maklumat selain meminta orang ramai di kawasan tersebut tampil membantu siasatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram