KISAH Putera Al-Waleed bin Khalid bin Talal Al Saud yang koma selama hampir 20 tahun sememangnya diketahui ramai selepas pemuda tersebut diberi julukan 'Putera Tidur'.
Namun, riwayat lelaki tidak bernasib baik itu akhirnya menemui titik noktah apabila pada Sabtu, pihak keluarga mengesahkan dia sudah mangkat pada usia 36 tahun.
Putera Khalid bin Talal, bapa kepada Al-Waleed, mengesahkan pemergian anakandanya itu menerusi hantaran di platform X dengan hantaran tersebut menyentuh hati jutaan pengguna lain.
BACA LAGI: Ramai dakwa 'Putera Tidur' sudah sedar dari koma lepas 20 tahun, rupanya pemandu rali
BACA LAGI: Nooh Gadut, Menteri Arab Saudi dinobat Tokoh Maal Hijrah 2025

Al-Waleed sebelum kemalangan pada 2005 yang meletakkannya dalam keadaan koma selama 20 tahun.
"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai. Dengan hati yang reda terhadap ketentuan ALLAH dan penuh kesedihan, kami mengumumkan kemangkatan anakanda kami tercinta. Semoga ALLAH merahmatinya," tambahnya lagi.
Al-Waleed dikenali ramai sebagai simbol ketabahan dan keimanan di Arab Saudi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menuntut di sebuah kolej ketenteraan pada 2005.
Insiden itu menyebabkan beliau berada dalam keadaan koma sejak usia 16 tahun dengan usaha perubatan intensif, termasuk daripada pakar dari Amerika Syarikat dan Sepanyol gagal mengembalikan beliau ke keadaan sedia kala.
Namun, keluarga diraja itu tidak pernah putus harapan, termasuk Putera Khalid yang sering berkongsi gambar anakandanya di sisi katil sebagai usaha meyakinkan orang ramai bahawa Al-Waleed masih diberi perhatian penuh dan kasih sayang.

Pihak keluarga tidak pernah putus daripada memberikan penjagaan rapi kepada Al-Waleed sepanjang 20 tahun dalam keadaan koma.
Pada 2019, harapan kembali menyinar apabila Puteri Rima binti Talal memuat naik video yang menunjukkan Al-Waleed menggerakkan kepala dari kiri ke kanan.
Nama Al-Waleed sekali lagi menjadi tular April lalu selepas satu lagi foto dikongsikan oleh Puteri Rima, yang turut meluahkan doa penuh kasih.
Pada tahun kemudiannya pula, sebuah detik mengharukan berlaku apabila Al-Waleed yang sudah mengalami koma selama 15 tahun menggerakkan tangan yang sekali lagi menyuntik harapan buat keluarga.
Tetapi, beberapa bulan lalu, Putera Khalid memaklumkan perkembangan terkini apabila doktor mengesan bengkak pada kelenjar anakandanya, yang membawa kepada beberapa ujian lanjut.
Pemergiannya kini menutup sebuah kisah panjang yang penuh dengan keimanan, cinta dan pengharapan, namun legasi ketabahannya akan terus hidup dalam ingatan rakyat negara itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
