
DI sebalik kelahiran seorang bayi yang comel, tersimpan kisah duka seorang suami terpaksa redha kehilangan segalanya dalam sekelip mata.
Dalam satu video yang tular di media sosial, seorang lelaki dilihat duduk tenang di sisi jenazah isterinya.
Namun di balik wajah tabah itu, tersimpan kesedihan yang tidak terungkap dengan kata-kata.
BACA LAGI:
BACA LAGI:
Rakaman berdurasi kurang seminit itu memaparkan si suami menadah tangan, mengalunkan doa yang menggetarkan hati.
Setiap bait dilafazkan bukan sekadar pengharapan kepada Tuhan, tetapi juga cerminan cinta dan penghargaan terhadap wanita yang telah pergi buat selamanya selepas melahirkan anak mereka.
"Ya Allah, ampunkan dosa jenazah ini, dia bertaruh nyawa demi anak kami," katanya perlahan namun jelas.
Si isteri memilih untuk mempertaruhkan nyawa sendiri demi memastikan bayi yang dikandung lahir dengan selamat.
Ia bukan sekadar pengorbanan biasa, tetapi satu keputusan yang menjadikan jasadnya kini terbujur kaku, sementara zuriatnya menangis memulakan hidup.
Sebagai seorang suami, lelaki itu tidak melontarkan tangisan histeria, malah menerima segala takdir yang berlaku.
Beliau mengangkat tangannya dalam doa memohon agar isterinya diberikan tempat di sisi mereka yang beriman dan agar suatu hari nanti anak yang dilahirkan itu bersatu kembali dengan ibunya di alam yang kekal.
"Dia tak pilih dirinya, dia pilih anak kami, kau satukan anak aku dengan isteri aku nanti,” tambahnya sambil memejam mata menahan sebak.
Rata-rata orang ramai yang menonton video itu tidak mampu menahan air mata.
Komen takziah membanjiri ruang hantaran tersebut, ada yang mendoakan kekuatan buat si suami, malah juga berkongsi kisah kehilangan serupa.
Namun lebih daripada itu, apa yang berlaku mengangkat semula satu kenyataan yang jarang diberi perhatian iaitu melahirkan anak bukan satu proses biasa.
Ia penuh risiko mampu meragut nyawa dan dalam kes ini, ia benar-benar meragut seorang isteri, seorang ibu, seorang wanita yang memilih untuk memberi kehidupan walaupun bermakna mengorbankan dirinya sendiri.
Mungkin kita sering mendengar ungkapan seperti "pengorbanan ibu tiada tandingan", tetapi di sinilah realitinya.
Bukan metafora, mahupun kiasan kerana ia adalah kisah benar tentang cinta, kehilangan dan doa tidak terpadam dalam ingatan.
Kini, si suami memikul satu tanggungjawab yang tidak kecil iaitu membesarkan anak mereka bukan sekadar sebagai seorang bapa, tetapi sebagai penjaga warisan kasih ibu yang tidak sempat dikenali oleh si kecil itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram