
PENASIHAT Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merangkap bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut diumumkan sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1447H/2025M.
Sementara itu, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.
Kedua-dua tokoh menerima hadiah wang tunai, sijil dan trofi yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam majlis yang diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC) pada Jumaat.
BACA LAGI: Persembahan Maal Hijrah ala 'Transformer', Jakim perjelas konsep kejadian alam termasuk saintifik
BACA LAGI: Bekas Ketua Pengarah IKIM terima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun ini
Sumbangan Nooh Gadut dalam membangunkan agama Islam di Johor tidak boleh dinafikan.
Turut hadir ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Nooh merupakan anak jati Segamat, Johor, memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Feqah Syariah Al-Islamiyyah dan Undang-Undang dari Universiti Al-Azhar, Mesir.
Sepanjang kerjaya beliau, agamawan berusia 78 tahun itu pernah berkhidmat sebagai Mufti Johor ke-11 dari 1999 hingga 2008 dan memainkan peranan penting dalam pentadbiran fatwa serta pendidikan agama dalam negara.
Beliau juga merupakan Penasihat Agama kepada Sultan Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.
Sementara itu, Dr Tawfiq yang dilahirkan di Riyadh, Arab Saudi menerima anugerah tersebut atas sumbangan cemerlangnya dalam memartabatkan perkhidmatan haji dan umrah di peringkat global.
Sumbangan Dr Tawfiq dalam melincirkan urusan haji dan umrah di peringkat antarabangsa perlu diikitiraf.
Sebagai Menteri Haji dan Umrah sejak 2021, beliau memperkenalkan pelbagai inisiatif inovatif seperti Laluan Mekah dan platform Nusuk yang memudahkan jemaah dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, untuk menunaikan ibadah dengan lebih selesa dan efisien.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Visi 2030 Arab Saudi, memastikan kelestarian dan kemajuan dalam pengurusan haji dan umrah.
Selain itu, beliau memiliki kelulusan akademik yang gemilang termasuk ijazah sarjana muda dalam Pengurusan Kewangan dan Matematik dari Universiti King Saud, dua ijazah sarjana dalam Sains Maklumat dan Sains Komputer serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Komputer dari Universiti Pittsburgh.
Beliau juga telah menerbitkan 16 kertas akademik dan menyumbang kepada Pelan Transformasi Nasional Arab Saudi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram