'Tercapai juga impian saya', Tok Fizz sebak tinggalkan Suria FM lepas lebih setahun bersama


  • Hiburan
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Fizz disahkan tidak lagi meneruskan kontrak sebagai penyampai radio Suria FM untuk segmen Morning Morning Suria.

PELAKON, Datuk Fizz Fairuz disahkan tidak lagi meneruskan kontrak sebagai penyampai radio Suria FM untuk segmen Morning Morning Suria yang dikendalikan bersama Ajak dan Kai Hassan.

Menerusi kenyataan rasmi Suria FM, Jumaat (18 Julai 2025) adalah hari terakhir Fizz atau nama sebenarnya ialah Fairuz Zainal Abidin, 46, mengacarakan segmen Morning Morning Suria

BACA LAGI: [VIDEO] 'Rehat seketika misi selamatkan dunia', Mark O’Dea ajak Pedro Pascal-Fantastic Four bercuti ke Malaysia

BACA LAGI: 'Tak perlu banyak sangat pergi kelas', Tomok optimis bijak bahagi masa waima sambung belajar ketika berusia 41 tahun

"Sepanjang tempoh satu tahun setengah bersama stesen radio ini, Datuk Fizz Fairuz telah memainkan peranan penting dalam menceriakan hari-hari para pendengar.

"Datuk Fizz Fairuz dikenali sebagai penyampai yang berbakat besar dengan keperibadian mesra yang mudah didekati oleh pendengar. Sikap profesionalisme dan semangat kerja yang tinggi telah ditunjukkan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan di Suria FM," memetik kenyataan dikeluarkan pada Jumaat. 

Fizz (dua dari kiri) selepas tugas terakhirnya bersama Suria FM.

Sementara itu, pihak Suria FM amat menghargai segala sumbangan dan usaha yang telah dicurahkan oleh Fizz atau mesra dengan panggilan Tok Fizz itu sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. 

Suria FM juga mengucapkan jutaan terima kasih dan mendoakan kejayaan berterusan Fizz dalam apa jua bidang yang akan diceburi selepas ini.

"Selamat maju jaya, Tok Fizz. Terima kasih atas kenangan indah yang telah dikongsi bersama kami di Suria FM," ujar pihak Suria FM.

Untuk info, Fizz terdahulu berkhidmat sebagai penyampai di radio Suria FM sejak 21 Januari 2024.

"Saya sudah pelbagaikan darah seni saya, akan ingat sampai bila-bila. Tercapai juga impian saya untuk menjadi penyampai radio.

"Anak saya masih kecil, saya yang uruskan. Kasihan dengan isteri, tak apalah sama-sama berkorban. Insya-ALLAH selepas ini saya akan teruskan dengan karier seni saya sebagai pelakon selepas ini," kata Fizz. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram