[VIDEO] Ajal tak boleh diduga, warga emas maut ketika hiburkan tetamu majlis kahwin di Bengkulu


  • Benua
  • Isnin, 14 Jul 2025

Tangkap layar dari rakaman tersebut memaparkan lelaki tersebut meninggal dunia di majlis berkenaan.

TULAR di media sosial sejak Sabtu memaparkan seorang individu berusia meninggal dunia ketika sedang asyik menghiburkan tetamu dalam sebuah majlis perkahwinan di Bengkulu Utara di Kepulauan Sumatra, Indonesia.

Dalam video berdurasi dua minit 56 saat itu, lelaki berkenaan pada awalnya gembira menyanyikan lagu sambil ditemani beberapa hadirin lain.

Kegembiraan ditonjolkan penyanyi tersebut sememangnya mencuit hati tetamu lain dalam majlis tersebut, lebih-lebih lagi kerana pemakaiannya yang mengenakan kopiah dan berbaju batik kelihatan cukup bersahaja.

BACA LAGI: [VIDEO] Masalah komunikasi antara 2 juruterbang punca awal pesawat terhempas korbankan 260 nyawa

BACA LAGI: [VIDEO] Si jelita Afifah Balqis jadi tahanan kes rasuah paling muda

Namun, individu berkenaan secara tiba-tiba rebah sejurus sahaja duduk di kaki tangga bersama pengantin lelaki selepas pernafasannya sedikit tercungap-cungap.

Gelagatnya yang terbaring pada awalnya disangka untuk menghiburkan orang ramai dalam majlis tersebut sehingga hadirin yang bersamanya di atas pentas menepuk-nepuk pahanya.

Bagaimanapun, selepas beberapa detik lelaki berkenaan tidak menyedarkan diri, perasaan gembira yang dirasakan bertukar cemas dengan muzik dimainkan di latar belakang segera dihentikan.

Menyedari keadaan warga emas tersebut seperti tidak lagi bernafas, beberapa tetamu lain segera membantu dengan ada daripadanya menghulurkan sebotol air sementara yang lain mengusap-usap belakang badannya.

Tetapi, segala usaha untuk cuba membantu lelaki berkenaan tidak membuahkan hasil dengan laporan media Indonesia menyatakan dia mengalami serangan jantung.

Laporan lanjut turut menyatakan individu yang hanya dikenali sebagai Sakwan berasal dari Desa Aur Gading, Bengkulu Utara meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan dengan pengguna media sosial hanya sempat menzahirkan rasa simpati buat keluarga si mati. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram