Rakyat Malaysia antara 3 terkorban tragedi feri karam di Bali, famili dijangka tiba Jumaat


  • Benua
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Daripada 65 individu yang berada di atas feri KMP Tunu Pratama Jaya, seramai 45 telah dikenal pasti termasuk 30 yang terselamat dan 15 disahkan meninggal dunia. — Agensi

SEORANG warga Malaysia disahkan antara tiga mangsa yang ditemukan maut dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan tragedi feri karam di Selat Bali pada lewat malam 2 Julai lalu.

Menurut Timbalan Ketua Operasi dan Kesiapsiagaan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas), Eko Suyatno, mangsa dikenali sebagai Fauzey Awang, 55, ditemukan di perairan berhampiran Pantai Perancak, Bali.

Mayat Fauzey bersama dua lagi mangsa warga Indonesia telah dibawa ke Hospital Blambangan di Banyuwangi, Jawa Timur untuk proses pengecaman oleh Unit Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Indonesia.

BACA LAGI: Gaji cuma RM3,000 sebulan, CEO Batu mohon rendah jaminan, mengaku tak bersalah tuduhan amang seksual

BACA LAGI: Nahas helikopter Sungai Pulai: 2 kritikal, Ketua Polis Negara nafi dakwaan aset lama punca kejadian

Fauzey Awang. Gambar ihsan Keluarga

"Operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan mangsa lain yang masih hilang," kata Eko dalam satu kenyataan.

Setakat ini, daripada 65 individu yang berada di atas feri KMP Tunu Pratama Jaya, seramai 45 telah dikenal pasti termasuk 30 yang terselamat dan 15 disahkan meninggal dunia.

Menurut laporan awal, Fauzey dilaporkan berada dalam sebuah van pelancong yang turut berada di atas feri berkenaan ketika kejadian.

Beliau dalam perjalanan pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai di Bali selepas menaiki van dari Pelabuhan Ketapang di Banyuwangi.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ketika dihubungi mengesahkan telah berhubung dengan keluarga mangsa di Malaysia untuk memaklumkan perkembangan terkini dan akan memberikan bantuan konsular sewajarnya.

Pihak kedutaan turut memaklumkan bahawa ahli keluarga mangsa telah menyatakan hasrat untuk berlepas ke Banyuwangi pada Jumaat bagi tujuan pengecaman dan urusan lanjut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram